Susulan Perang Ukraine, Tentera Britain Dilarang Guna WhatsApp, Ini Puncanya.. | Tentera Britain dilaporkan mengharamkan aplikasi WhatsApp kerana bimbang Rusia akan menggodam platform itu untuk memperoleh maklumat operasi yang sensitif, lapor portal berita MailOnline semalam.

Semua kakitangan termasuk pegawai hingga askar biasa diarah supaya berhenti menggunakan perkhidmatan permesejan telefon itu untuk tujuan kerja atau mereka akan berdepan tindakan tatatertib.

Dokumen Kementerian Pertahanan yang mengesahkan larangan itu menyatakan, wujud kebimbangan keselamatan yang ketara berhubung penggunaan WhatsApp.

Perintah itu berkuat kuasa serta-merta dan dibuat selepas akhbar Daily Mail melaporkan bahawa Rusia menggunakan data telefon bimbit Britain untuk memilih sasaran serangan udara di Ukraine.

Serangan peluru berpandu pada Ahad lalu yang menyasarkan kem latihan pejuang asing di Ukraine telah membunuh 35 orang dengan 134 yang lain cedera.

Serangan itu dilancarkan selepas nombor-nombor Britain yang disambung ke rangkaian telefon Ukraine di pangkalan tersebut dipercayai digodam.

Menteri-menteri kanan kerajaan Britain juga mengalami tekanan untuk berhenti daripada menggunakan WhatsApp dalam urusan rasmi.

Perdana Menteri, Setiausaha Pertahanan, Setiausaha Luar dan Setiausaha Dalam Negeri semuanya menggunakan platform itu dan komunikasi antara mereka mungkin menjadi sasaran penggodaman Kremlin.

WhatsApp bagaimanapun mengesahkan bahawa sistem kod ‘end-to-encryption’nya selamat dan kerajaan sesebuah negara tidak dapat memintas mesej dan panggilan peribadi.

Namun, sumber keselamatan berkata, pegawai perisikan Britain dan AS telah memintas panggilan WhatsApp dan menempatkan penghantar mesej untuk tujuan keselamatan negara. Rusia berkemungkinan besar dianggap mempunyai keupayaan yang sama.

Sumber : Kosmo

Share.

Leave A Reply