Syarat Mohon Rumah Mampu Milik Utamakan Suami Berpoligami Tidak Masuk Akal-SIS. | PETALING JAYA: Sisters in Islam (SIS) mempersoalkan langkah kerajaan Terengganu mengutamakan suami berpoligami berbanding golongan rentan dalam memberikan kelonggaran memohon Rumah Mampu Milik (RMM) yang disifatkan tidak masuk akal.
Katanya, kerajaan Terengganu perlu berfikiran realistik, bukannya hanya memikirkan cara untuk menyenangkan suami berpoligami.
“Kenapa ia menjadi keutamaan kerajaan negeri ini sedangkan terdapat pelbagai lagi masalah dan isu yang boleh diketengahkan dan diberi keutamaan?
“Dalam era pandemik ini, ramai yang terkesan, kerajaan negeri wajib memberi perhatian kepada golongan rentan seperti golongan ibu tunggal,” katanya dalam kenyataan sambil menggesa kerajaan Terengganu lebih bertanggungjawab dalam menjaga kebajikan golongan rentan dan memfokuskan isu lebih penting.
NGO itu berkata, syarat memohon RMM juga tidak masuk akal kerana pemohon tidak boleh memiliki rumah lain dan ia hanya boleh dimohon sekali.
“Jika rumah dibeli di bawah skim ini, si suami hanya boleh membeli sebuah rumah dan hanya seorang daripada isterinya dapat menduduki rumah tersebut. Ini akan menimbulkan ketidakadilan dari segi isteri manakah yang boleh mendiami rumah tersebut. Adakah ini kira adil?” soalnya.
Baru-baru ini, Terengganu memberi kelonggaran kepada suami beristeri dua untuk memohon RMM dengan syarat berpendapatan tidak melebihi RM2,500 sebulan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Alias Razak dilaporkan berkata, kelonggaran itu antara kaedah terbaru diperkenalkan kerajaan bagi menyelesaikan masalah kediaman dihadapi rakyat, terutama yang mempunyai lebih seorang isteri.
SIS berkata, keputusan kerajaan Terengganu itu juga dilihat menggalakkan lebih ramai suami berpoligami walaupun secara sahnya mereka tidak berkemampuan dari segi kewangan.
“Secara logiknya, RM2,500 itu dipecahkan untuk membayar nafkah isteri-isteri, anak-anak, bil api, membeli barangan dapur dan lain-lain, jadi adakah RM2,500 itu mencukupi?
“Tindakan kerajaan Terengganu ini langsung tidak bertanggungjawab dan tidak mengambil kira pecahan perbelanjaan suami untuk keluarganya.”
Oleh itu, SIS mengulangi gesaan supaya Undang-undang Keluarga Islam dipinda bagi mewajibkan suami mengisytiharkan semua aset dan tanggungannya apabila memohon untuk berpoligami di mahkamah bagi memastikan tiada wanita atau anak ditinggalkan tanpa nafkah atau tersisih akibat poligami.
Dalam pada itu, SIS mengumumkan laporan kajian nasional bertajuk “Impak Poligami terhadap Keluarga Muslim di Semenanjung Malaysia” dari 2007 hingga 2012 membabitkan 1,224 responden pelbagai latar keluarga, iaitu 214 responden adalah suami, isteri pertama (259), isteri kedua (228), anak isteri pertama (331) dan anak isteri kedua (192) di Semenanjung Malaysia.
Tinjauan itu mendapati 40% suami mengaku mereka mengurangkan perbelanjaan anak, isteri dan keperluan rumah lain selepas berpoligami, manakala 44% isteri pertama mula bekerja atau bekerja lebih masa dan mencari kerja sampingan untuk menampung perbelanjaan selepas suami berpoligami.
Seramai 64% isteri pertama pula mengaku suami tidak mengikut giliran ditetapkan atau langsung tiada giliran diberikan dan 77% anak isteri pertama tidak berpuas hati dengan aturan giliran bapa mereka.
Sumber: FMT