Seorang lelaki di Jharkhand, India mencetus bualan warganet selepas mengahwini dua wanita serentak selepas mengaku bahawa dia mencintai kedua-duanya.
Menurut India Today, Sandeep Oraon mengahwini dua teman wanitanya, Kusum Lakra dan Swati Kumari dalam satu upacara ringkas yang diadakan di sebuah kampung di Jharkhand.
Difahamkan Sandeep telah menjalinkan hubungan dengan Kusum selama tiga tahun dan telah melahirkan seorang anak.
Namun, mereka berdepan cabaran selepas Sandeep bekerja di sebuah kilang membuat batu-bata di Bengal Barat.
Di situ, dia berkenalan dengan Swati yang turut bekerja di kilang yang sama.
Mereka terus berhubung dan menjadi semakin rapat.
Bagaimanapun, hubungan mereka ditentang ahli keluarga dan penduduk kampung.
Selepas beberapa siri pertelingkahan, penduduk memanggil ketua kampung dan membuat keputusan bahawa Sandeep perlu mengahwini kedua-dua teman wanitanya serentak.
Keputusan itu tidak ditentang mana-mana pihak.
Sandeep berkata, dia mungkin berdepan dengan masalah dari segi undang-undang kerana mengahwini dua wanita serentak.
Katanya, dia mencintai kedua-dua mereka dan tidak boleh hidup tanpa salah seorang daripadanya.
Sumber: Oh Bulan