Kerajaan memberi pengecualian bayaran tol di Bangunan Sultan Iskandar (Tambak Johor) dan Tanjung Kupang (Lebuh Raya Linkedua) yang menjadi laluan Malaysia-Singapura sempena pembukaan semula sempadan, mulai 1 April ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pengecualian bayaran tol di plaza tol Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan di kedua-dua pintu masuk sempadan negara itu diberikan kepada semua jenis kenderaan selama tujuh hari sehingga 7 April depan.
“Ia adalah selaras pendekatan untuk memudah cara perjalanan rentas sempadan dengan Singapura. Pengecualian ini untuk rakyat Malaysia dan pengguna menambah nilai atau memperbaharui ‘Touch and Go’ serta ‘Smart Tag’.
“Keputusan ini turut mengambil kira penutupan sempadan Malaysia dan Singapura sejak dua tahun lalu dan bagi memastikan kelancaran lalu lintas di kedua-dua plaza tol itu,” katanya dalam kenyataan semalam.
Ismail Sabri berkata, pengecualian itu juga tambahan kepada pengecualian Caj Jalan (CJ) yang dikenakan kepada kenderaan persendirian pendaftaran Singapura apabila memasuki Malaysia melalui laluan darat di kedua-dua lokasi.
Beliau berkata, PLUS menganggarkan sekurang-kurangnya 42,000 kenderaan akan memasuki Malaysia menerusi laluan darat itu setiap hari, dan akan memanfaatkan lebih 300,000 perjalanan rentas sempadan bagi pemilik kenderaan.
Katanya, pihak PLUS dengan kerjasama Kerajaan Negeri Johor dan kementerian serta agensi berkaitan sedang giat mengadakan persiapan terakhir bagi memastikan perjalanan lancar di lebuh raya.
“Ia juga termasuk persiapan di plaza tol, kawasan rehat dan semua kemudahan awam yang disediakan di Lebuhraya PLUS,” katanya.
Kata beliau, kerajaan mengalu-alukan kepulangan rakyat Malaysia di Singapura dan ketibaan rakyat Singapura ke Malaysia melalui pembukaan semula sempadan negara itu.
Sumber : HMÂ