Taliban Haramkan Penggunaan Mata Wang Asing Di Afghanistan | Kerajaan Taliban dilaporkan telah mengumumkan bakal meluluskan larangan untuk penggunaan mata wang asing di Afganistan, baru-baru ini.

Taliban Haramkan Penggunaan Mata Wang Asing Di Afghanistan

Menurut Jurucakap Taliban, Zabiullah Mujahid dalam satu kenyataan yang dipetik Harian Metro, mereka yang masih menggunakan mata wang asing selepas ini dalam urus niaga domestik akan didakwa.

Keadaan ekonomi dan kepentingan negara di negara ini dilaporkan memerlukan semua rakyat Afghanistan untuk menggunakan mata wang tempatan dalam setiap transaksi.

Kerajaan Taliban juga dikhabarkan telah mengarahkan semua rakyat, pemilik kedai, peniaga, ahli perniagaan dan orang awam untuk terus menjalankan semua transaksi di Afghanistan dan mengelak daripada menggunakan mata wang asing.

Berikutan itu,  ramai pihak menganggap pengumuman yang dibuat Taliban ini akan menjejaskan lagi keadaan ekonomi Afghanistan yang semakin merudum sejak mereka menguasai kembali negara terbabit, pertengahan Ogos lalu.

Mata wang negara tersebut dikatakan telah menyusut nilai manakala rizab kerjaaan pula telah dibekukan di luar negara.

Dengan ekonomi yang terumbang-ambing, banyak bank dilaporkan telah kehabisan wang tunai dan masyarakat antarabangsa setakat ini enggan mengiktiraf kerajaan baharu berkenaan.

Sementara itu, banyak urus niaga dalam negara itu juga dijalankan dalam dolar Amerika Syarikat dan Rupee Pakistan digunakan di kawasan selatan berhampiran dengan laluan perdagangan sempadan dua negara.

Sumber: Harian Metro

Share.

Leave A Reply