Mayat mangsa terakhir kejadian tanah runtuh yang juga kanak-kanak lelaki ditemukan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) di lokasi kejadian di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Jalan Genting-Batang Kali di sini, hari ini.
Penemuan itu menjadikan keseluruhan 31 mayat mangsa ditemukan sejak tragedi berlaku awal pagi 16 Disember lalu.
Difahamkan, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk proses bedah siasat.
Operasi SAR pada hari kesembilan itu bermula 7.30 pagi tadi dengan kekuatan 80 pegawai dan anggota pelbagai agensi dengan bantuan Unit Anjing Pengesan (K9) serta jengkaut.
Pencarian mangsa terakhir ditumpukan di Sektor A (Hill View) yang dipercayai menjadi lokasi terakhir mangsa.
Sejumlah 92 mangsa terdiri daripada 78 pengunjung dan 14 pekerja terbabit insiden tanah runtuh dianggarkan setinggi 30 meter dengan anggaran keluasan runtuhan kira-kira tiga hektar.
Sumber : Harian Metro
ARTIKEL MENARIK UNTUK DIBACA
Batang Kali: Empat Mangsa Ditemui Dalam Satu Khemah Sedalam 7 Meter
Empat mangsa yang dijumpai hari ini, dalam tragedi tanah runtuh di sebuah tapak perkhemahan, di Jalan Batang Kali-Genting Highlands, ditemui berada dalam satu khemah yang sama.
Walau bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah, berkata pihaknya tidak dapat memastikan lagi sama ada mereka merupakan sebuah keluarga atau tidak.
“Empat mayat tersebut terdiri daripada seorang lelaki dewasa, seorang wanita dewasa, seorang kanak-kanak lelaki, dan seorang kanak-kanak perempuan.
“Mereka dijumpai sedalam tujuh meter di Sektor C (Riverside) dan berada dalam satu bungkusan khemah yang sama, sekitar pukul 10.39 pagi tadi.
“Keadaan anggota badan masih sempurna dan berpakaian tetapi sudah mula mereput. Identiti mereka tidak dapat dikenal pasti dan telah dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk dibedah siasat,” katanya dalam satu sidang akhbar, hari ini.
Suffian turut berharap dengan perkembangan positif ini, baki tiga lagi mangsa dapat ditemui bergantung atas faktor cuaca, hari ini.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Bomba Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah bermula sejak pukul 9 pagi dengan kekuatan anggota seramai 128 orang.
Jelasnya, 11 eskavator dan tujuh ekor unit anjing pengesan (K9) dari Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Angkatan Tentera Malaysia, turut di pergiatkan bagi membantu melancarkan operasi.
“Sebelum penemuan empat mayat tersebut, kami menjumpai tanda-tanda dan petunjuk kawasan perkhemahan seperti peralatan dan barang-barang peribadi.
“Hasil korekan eskavator dan unit K9, kami berjaya menjumpai mayat-mayat tersebut,” katanya.
Tambahnya, operasi SAR akan dipergiatkan lagi di Sektor A, Sektor C dan di kawasan-kawasan aliran sungai untuk mencari baki tiga mangsa lagi yang masih hilang.
Penemuan itu menjadikan mangsa korban mencecah seramai 30 orang daripada keseluruhan mangsa yang terlibat adalah 94 orang pada hari ketujuh operasi SAR.
Sumber : KMN