Empat mangsa yang dijumpai hari ini, dalam tragedi tanah runtuh di sebuah tapak perkhemahan, di Jalan Batang Kali-Genting Highlands, ditemui berada dalam satu khemah yang sama.
Walau bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah, berkata pihaknya tidak dapat memastikan lagi sama ada mereka merupakan sebuah keluarga atau tidak.
“Empat mayat tersebut terdiri daripada seorang lelaki dewasa, seorang wanita dewasa, seorang kanak-kanak lelaki, dan seorang kanak-kanak perempuan.
“Mereka dijumpai sedalam tujuh meter di Sektor C (Riverside) dan berada dalam satu bungkusan khemah yang sama, sekitar pukul 10.39 pagi tadi.
“Keadaan anggota badan masih sempurna dan berpakaian tetapi sudah mula mereput. Identiti mereka tidak dapat dikenal pasti dan telah dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk dibedah siasat,” katanya dalam satu sidang akhbar, hari ini.
Suffian turut berharap dengan perkembangan positif ini, baki tiga lagi mangsa dapat ditemui bergantung atas faktor cuaca, hari ini.
ARTIKEL YANG BERKAITAN
Tanah runtuh: Empat Mayat Ditemukan Termasuk Dua Kanak-Kanak
Empat lagi mayat mangsa termasuk dua kanak-kanak ditemui di lokasi pencarian tragedi tanah runtuh tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Jalan Genting, di sini, pada Khamis.
Perkara itu disahkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) menerusi Facebook yang memaklumkan penemuan itu.
“Pagi ini para petugas SAR berjaya menemui empat lagi mayat yang tertimbus dalam kejadian tanah runtuh Father’s Organic Farm,” katanya pada Khamis.
Difahamkan, empat mayat itu terdiri daripada seorang lelaki dewasa, seorang perempuan dewasa, seorang kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan.
Penemuan mayat mangsa itu ditemukan pada jam 10.39 pagi.
Bagaimanapun, masih belum dapat dipastikan sama ada empat mangsa itu mempunyai pertalian keluarga atau sebaliknya.
Penemuan itu merekodkan angka korban tragedi terbabit kini seramai 30 orang dan tiga lagi masih hilang.
Satu sidang media berkenaan perkara itu akan dibuat oleh pihak bomba dan polis dalam masa terdekat.
Sumber : SH