Tawar Perkhidmatan Kejut Sahur Melalui Panggilan Telefon | Umumnya mengetahui bahawa semalam merupakan hari pertama umat Islam menyambut bulan Ramadan. Apa yang menjadi perhatian di Jawa Tengah ialah seorang lelaki yang menawarkan dirinya untuk melakukan perkhidmatan kejut sahur melalui panggilan telefon sepanjang bulan Ramadan ini.

Tawar Perkhidmatan Kejut Sahur Melalui Panggilan Telefon

Jawa: Seorang lelaki dari Magelang Jawa Tengah telah menawarkan dirinya untuk perkhidmatan ‘jasa bangun sahur’ menerusi panggilan telefon.

Khoirul Anam melakukan demikian bermula pada hari Ramadan pertama dan promosi itu telah dimuat naik di instagram miliknya @anam_chenel, lapor Tribunnews. Perkhidmatan yang dikatakan unik itu telah berjaya menarik perhatian warganet dan berjaya memperoleh pelanggan seramai 11 orang buat pertama kalinya.

“Pada puasa pertama, ramai yang hubungi saya untuk bantu kejutkan bersahur. Anggaran dalam 11 orang,” katanya.

Walau bagaimanapun, Khoirul berkata hanya tiga orang sahaja yang mengangkat panggilannya, selebihnya dikatakan masih lena. Perkhidmatan tersebut hanya dilakukan sebanyak tiga kali sahaja setiap seorang, sekiranya mereka tidak mengangkat panggilan tersebut, Khoirul akan membuat panggilan kepada orang lain.

Perkhidmatan yang dilakukan oleh Khoirul itu adalah percuma sahaja bagi seluruh warga di Indonesia.

“Saya memang lakukan secara percuma, kalau mengenakan bayaran bimbang nanti saya tertidur. Kalau percuma sama-sama tidak rugi,” katanya.

Perkhidmatan kejut sahur menerusi panggilan telefon itu bermula pada jam dua pagi hingga waktu imsak. Dia menegaskan bahawa perkhidmatan itu hanya dilakukan sepanjang bulan Ramadan sahaja. Tambahnya, dia juga berasa gembira kerana ramai warganet yang memberi sokongan terhadapnya.

Pada Isnin, hebahan promosi bagi perkhidmatan ‘jasa bangun sahur’ itu menjadi bualan hangat warganet yang disifatkan unik selain memudahkan golongan bujang bangun untuk bersahur bagi menjalankan ibadah puasa di bulan Ramadan.

Sumber: Sinar Harian 

Share.

Leave A Reply