Kebiasaannya, jika sebut Pahang pasti ramai orang tahu tentang Cameron Highlands serta Genting Highlands namun terdapat banyak lagi tempat-tempat menarik yang ramai orang tidak sedari selama ini.
Ini antara tempat-tempat menarik yang boleh dilawati bersama keluarga, rakan serta orang tersayang.
1. Taman Negara
Taman Negara Pahang ini dikategorikan antara hutan simpan paling tua di dunia iaitu lebih kurang 130 juta tahun.
Taman Negara ini terletak di Kuala Tahan serta berdekatan dengan Bandar Jerantut.
Dari Bandar Jerantut, pelawat boleh mengambil bas atau teksi ke Jeti Kuala Tembeling yang terletak lebih kurang 16 km.
Dari Jeti Kuala Tembeling, pelawat akan menaiki bot menyusuri Sungai Tembeling untuk jangka masa lebih kurang tiga jam untuk sampai ke Kuala Tahan.
Bot akan berlepas pada jam 1.00 petang setiap hari dengan tambang sebanyak RM 55.00 seorang sehala.
Setiap pelawat mesti mendapatkan permit masuk dengan harga RM1.00 setiap seorang.
Kemudahan dan perkhidmatan diuruskan oleh masyarakat setempat dan pihak swasta dengan bayaran sewaan tapak perkhemahan RM1.00 seorang untuk satu malam.
Terdapat pelbagai aktiviti yang boleh dilakukan di sini, antaranya ialah bermalam di Bumbun, titian kanopi, kembara gua, eksplorasi gua, berkhemah, mendaki Gunung Tahan serta banyak lagi.
2. Sungai Lembing
Sungai Lembing mempunyai lombong bijih timah yang terpanjang di dunia.
Di sini, pelancong boleh bermalam di beberapa resort menarik seperti Time Capsule serta T-Box.
Malah, pelancong juga boleh menyaksikan pemandangan matahari terbit di Bukit Panorama.
Pelancong juga boleh menyewa pemandu untuk pergi ke Air Terjun Pelangi.
Paling penting, jangan lupa untuk menikmati taufu fah terbaik di Kuantan.
3. Rumah Rakit
Bagi pengemar memancing, Rumah Rakit yang terletak di Kuala Rompin sangat sesuai dan menarik untuk dilawati.
Pelancong juga boleh merasai pengalaman bermalam di Rumah Rakit ini.
Bagi pengemar udang galah juga boleh datang ke sini untuk menikmati udang galah yang segar.
Malah, Rompin juga mempunyai pantai terbaik di Pahang serta sangat bersih.
4. Taman Laut Pulau Tioman
Alang-alang sudah berada di Rompin, boleh lanjutkan perjalanan ke Taman Laut Pulau Tioman.
Pelancong boleh memilih untuk untuk menginap di Kampung Tekek, Kampung Salang, Kampung Juara atau Kampung Mukut.
Pelancong juga boleh mengambil peluang untuk menyaksikan Bukit Dua Tanduk.
5. Pekan
Anda ingin kembali ke masa di mana masih belum banyak pembangunan yang berlaku?
Bolehlah lawati Pekan yang terletak lebih kurang 30 minit dari bandar Kuantan.
Pengemar sejarah boleh melihat banyak perkuburan purba seperti Makam Chondong di mana kerabat diraja dari Aceh, Indonesia dikebumikan di sini.
6. Cherating
Tempat ini tidak perlu diperkenalkan lagi. Siapa sahaja yang tidak kenal dengan Cherating.
Pelancong boleh memilih untuk menginap di tempat eksklusif seperti Royale Chulan atau The Kasturi di mana boleh melihat pemandangan Laut China Selatan.
Malah, pelancong juga boleh menginap di resort yang berdekatan dengan pantai.
Selain itu, pelancong juga boleh menaiki bot untuk menyusuri Sungai Bakau serta melihat kunang-kunang pada waktu malam.
7. Pusat Santuari Gajah Kuala Gandah
Jika anda ingin mencuba sesuatu yang berbeza dan menarik, bolehlah datang ke sini.
Di sini, pelancong boleh memandikan gajah serta dapat memberi mereka makan.
Kemudian, anda boleh memandu ke Kota Gelanggi di Jerantut untuk meneroka gua-gua yang cantik.
8. Bukit Fraser/Bukit Tinggi
Jika anda ingin mencari alternatif lain untuk Cameron Highlands, anda boleh lawati ke Bukit Fraser atau Bukit Tinggi.
Walaupun tidak sebesar Cameron Highlands serta tiada strawberi, pelancong boleh merasai tidur dalam suhu sekitar 16 hingga 21 darjah celcius pada waktu malam.
9. Air Terjun
Inginkan sesuatu yang lebih mencabar? Bolehlah pergi mencari air terjun yang menarik di Pahang.
Pahang mempunyai beberapa air terjun yang menakjubkan seperti Air Terjun Jerangkang, Air Terjun Pandan, Air Terjun Lata Hammer atau Air Terjun Padang Batu.
Malah, boleh menikmati hutan hijau yang menyejuk mata serta menenangkan jiwa.
10. Kuantan
Kuantan terkenal dengan ‘food hunting’ serta kedai kopi yang menarik.
Anda boleh pergi ke Jalan Besar, Kuantan dan memilih mana-mana kedai yang menarik seperti Tjantek, Kuantan Pickers, Muka, Kopi & Teh, Watak Kopi, Luth serta pelbagai lagi.
Anda juga boleh menikmati makanan tengah hari di Jaman Tory, Mabiq atau Sedap Weh!.
Kuantan juga menawarkan pelbagai makanan Pantai Timur serta boleh cuba makan Nasi Kerabu Kemira, Pais Ikan Patin/ Gulai Tempoyak di Jaman Tory.
Pelancong juga boleh bersarapan pagi di Tanjung Lumpur di mana mudah untuk mendapatkan Nasi Dagang, Nasi Minyak, Laksam serta Pulut Nyior.
Selain itu, boleh juga menikmati teh di beberapa tempat menarik Beserah.
Semua daerah ini tersambung dengan Lebuhraya Pantai Timur kecuali Pekan, Rompin serta Cameron.
Kini, rakyat Malaysia boleh melancong serta meneroka tempat-tempat menarik walaupun hanya berada di dalam negara sahaja.
Malah, kita juga dapat bersantai serta dalam masa yang sama dapat menjimatkan kos perbelanjaan ketika melancong.
Sumber: Twitter Ikhwan