Terima Padah! Guru Rogol 13 Pelajar Dipenjara Seumur Hidup | Mahkamah Indonesia pada Selasa menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup kepada seorang guru kerana merogol 13 pelajar, kes yang menarik perhatian terhadap penderaan seksual di beberapa sekolah berasrama penuh agama di negara itu.
Tribun News melaporkan, Herry Wirawan, 36, didapati bersalah oleh mahkamah di daerah Bandung kerana merogol 13 pelajar perempuan di bawah umur menyebabkan sekurang-kurangnya lapan orang daripada mereka mengandung.
Pendedahan itu mencetuskan kemarahan di seluruh negara, dengan seorang pegawai kanan kerajaan berkata Presiden Joko Widodo memberi perhatian khusus kepada kes itu.
Kes itu terbongkar apabila keluarga seorang pelajar perempuan melaporkan Wirawan kepada polis kerana merogol dan menghamilkan anak perempuan remaja mereka, tahun lalu.
Semasa perbicaraan, didapati dia melakukan perbuatan itu selama lima tahun dan ramai daripada mangsanya berasal daripada keluarga miskin yang bersekolah dengan bantuan biasiswa.
Pendakwa raya meminta suntikan kimia dan hukuman mati bagi tertuduh, yang meminta hakim meringankan hukuman ke atasnya bagi membolehkan dia membesarkan anak-anaknya.
Wirawan tiba di mahkamah dalam keadaan bergari dan menundukkan kepalanya ketika hakim Yohannes Purnomo Suryo Adi menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup kepadanya.
Mahkamah berkata kerajaan Indonesia akan membayar pampasan kepada mangsa.
Pengerusi Suruhanjaya Perlindungan Kanak-Kanak Indonesia berkata, keputusan pada Selasa itu bermakna keadilan untuk mangsa sudah dilaksanakan.
Tetapi ahli keluarga salah seorang mangsa memberitahu AFP, dia sangat kecewa kerana Wirawan tidak menerima hukuman yang lebih keras dan memberi amaran bahawa itu akan membuka peluang kepada kes lain.
Sumber: Tribun News