Kira-kira 30 penduduk di Kampung Serkam Darat di sini berdepan detik cemas apabila kediaman mereka dipukul ribut sekitar pukul 4 pagi tadi.

Sebanyak lapan buah rumah dilaporkan mengalami kerosakan dinding rumah dan atap dalam bencana tersebut.

Menurut seorang penduduk, Mohd. Syukri Abdullah, 38, dia terkejut apabila bumbung dapur rumahnya turut tercabut diterbangkan ribut.

“Saya ingat rumah saya terselamat tetapi saya terkejut apabila mendapati bumbung tandas dan dapur diterbangkan ribut.

“Bumbung tandas itu saya sedar telah hilang ketika ingin bersiap-siap ke tempat kerja pada pukul 5 pagi,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Sementara itu, Mohd. Radzi Hamzah, 37, memberitahu, kejadian itu adalah yang pertama kali berlaku selepas menetap di kampung tersebut sejak 40 tahun lalu.

“Kejadian berlaku sekitar pukul 4.30 pagi, saya, isteri serta dua anak terjaga selepas kami terdengar bunyi kuat dentuman kuat dari arah dapur rumah.

“Saya terkejut apabila mendapati sebahagian bumbung rumah ranap dihempap sebatang pokok rambutan yang tumbang akibat ribut,”katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Komuniti, (JPKK), Kampung Serkam Darat, Hairul Amin Madon berkata, pihaknya telah memaklumkan kejadian tersebut kepada Jawatankuasa Penyelaras dan Pembangunan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Serkam untuk bantuan lanjut.

Katanya, bantuan awal bagaimanapun telah dihulurkan oleh pasukan Rela bagi kerja-kerja pembersihan kawasan ribut dan pengalihan pokok tumbang.

Sumber: Kosmo

 

Baca Juga: Koperal Maut Kemalangan, Tak Sempat Jumpa Anak Demam

Hasrat seorang bapa yang juga anggota polis pulang dari tempat kerjanya di Balai Polis Putra Heights, Selangor menuju ke Melaka setelah dimaklumkan bahawa anaknya demam berakhir tragedi apabila lelaki itu maut dalam kemalangan di Kilometer 217.1 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah Selatan berhampiran Alor Gajah di sini, awal pagi tadi.

Mangsa, Kamarul Arif Mat Noor, 32, berpangkat koperal maut di tempat kejadian akibat mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan kaki.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Arshad Abu berkata, nahas kira-kira pukul 1.30 pagi itu dipercayai berlaku apabila sebuah lori jenis Isuzu yang dipandu di lorong tengah telah mengubah haluan ke lorong paling kiri.

“Mangsa menunggang motosikal jenis Honda RS150R yang berada di lorong paling kiri telah cuba mengelak ke kanan, tetapi terlanggar lori itu pada bahagian belakang sebelah kanan.

“Akibat pelanggaran, mangsa telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan diserahkan kepada pihak Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat manakala kenderaan yang terlibat telah ditahan untuk pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).

“Difahamkan mangsa baru tamat tugas pukul 12 tengah malam dan pulang ke Kampung Musai, Bukit Baru di sini setelah dimaklumkan anaknya demam,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tambah Arshad, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati, keadaan jalan adalah lurus, tiga lorong manakala keadaan cuaca baik dan tidak hujan. Kedua-dua kenderaan terlibat dari arah yang sama iaitu dari arah Utara menghala ke Selatan,” jelasnya.

Sumber : UM

 

 

Share.

Leave A Reply