Pengarah Perhutanan Terengganu, Roslan Rani, menegaskan tiada sebarang kegiatan pembalakan secara haram di sekitar Tasik Kenyir sehingga membawa impak kemusnahan sangat besar ketika banjir melanda Hulu Terengganu, Ahad lalu.
Beliau sekali gus menyangkal dakwaan sesetengah pihak, termasuk netizen yang kongsikan maklumat tidak benar itu dalam media sosial.
Sebaliknya ujar beliau, berdasarkan taklimat Tenaga Nasional Berhad (TNB), situasi yang berlaku adalah disebabkan terjadi gelinciran tanah sehingga menyebabkan tanah runtuh (berhampiran Stesen Jana Elektrik Sultan Mahmud/SJSM di Kenyir) pada Ahad lalu.
Katanya, ketika kejadian tanah runtuh itu, turut berlaku fenomena ‘kepala air’ yang menyebabkan banyak pokok berhampiran, sampah sarap yang lama dan sisa kayu dahan serta ranting mati dihanyutkan ke dalam sungai.
Tambahnya, ia menyebabkan seolah-olah berlaku ‘banjir puing’ kerana ada video tular dalam media sosial memaparkan ratusan kayu hanyut yang didakwa balak oleh orang ramai,” katanya, di sini, hari ini.
Semalam, beliau meninjau keadaan runtuhan tanah di sekitar Empangan Jenagor serta Tasik Kenyir, bersama Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman, serta wakil TNB.
Mengulas lanjut, Roslan berkata, situasi berlaku di Tasik Kenyir adalah sama dengan insiden di Bentong, Pahang, akhir tahun lalu.
Ditanya mengenai perancangan Jabatan Perhutanan Terengganu susulan kejadian tanah runtuh itu pula, beliau berkata, pihaknya akan membuat semakan lanjut dengan mengambil gambar menggunakan dron dan koordinat tepat lokasi terbabit.
Katanya, mereka akan membuat satu pemetaan pelan untuk perancangan dan tindakan lanjut yang boleh digunakan untuk kajian bagi mengenal pasti langkah lebih baik ke atas kawasan-kawasan yang terjejas ini.
Semalam, TNB dalam satu kenyataan memaklumkan, operasi SJSM ditutup sementara bermula Ahad lalu berikutan menara penghantaran voltan tinggi yang menyalurkan bekalan elektrik dari stesen itu kepada Grid Nasional, tumbang akibat tanah runtuh.
Hujan lebat luar biasa yang berterusan sejak Jumaat lalu mengakibatkan tanah runtuh yang turut memutuskan akses jalan keluar masuk SJSM pada jam 4 pagi hari sama.
Aliran mendapan yang membanjiri kawasan stesen itu seterusnya mengalir ke Sungai Terengganu dan enam jam kemudian, berlaku satu lagi tanah runtuh menyebabkan sebuah jambatan serta menara penghantaran 132kV runtuh.
Susulan itu, TNB segera menghentikan operasi SJSM.
Namun, sepanjang penutupan sementara SJSM dengan kapasiti 400 megawatt itu, TNB memberi jaminan bekalan elektrik kepada pengguna di Pantai Timur tidak akan terjejas kerana ia boleh ditampung melalui sumber penjanaan lain yang disalurkan menerusi sistem Grid Nasional.
Sumber: Berita Harian