Tidak Lagi Ragu Terima Vaksin Selepas Hilang Ahli Keluarga Akibat Covid-19

| May 26, 2021 | 0 Comments

Tidak Lagi Ragu Terima Vaksin Selepas Hilang Ahli Keluarga Akibat Covid-19 | Terdapat segelintir rakyat yang masih lagi tidak yakin akan keberkesanan vaksin Covid-19 pada ketika ini. Malah, kebanyakan daripada mereka masih lagi gagal munculkan diri untuk menerima suntikan vaksin. Tanpa mereka sedari, peningkatan golongan anti vaksin inilah yang akan menyebabkan mereka lebih  terdedah kepada penyakit.

Tidak Lagi Ragu Terima Vaksin Selepas Hilang Ahli Keluarga Akibat Covid-19

Kota Bharu: Diuji dengan pengalaman pahit apabila seorang ahli keluarga meninggal dunia akibat positif Covid-19 hingga menjangkiti 15 lagi saudara mereka mendorong sebuah keluarga tidak lagi ragu-ragu untuk mendapatkan suntikan vaksin dengan kadar segera.

Salah seorang daripada mereka, bekas wartawan Sinar Harian, Rosalwani Che Soh, 40, berkata, bagaikan satu mimpi ngeri ketika keluarganya seramai 15 orang disahkan positif Covid-19 sekali gus, sedangkan mereka sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) berhubung pencegahan penularan Covid-19.

Rosalwani berkata, pada mulanya mereka sekeluarga menzirahi abang ipar mereka yang meninggal dunia akibat serangan jantung. Namun selepas dibedah siasat, jenazah disahkan positif Covid-19 dan menyebabkan mereka sekeluarga dijangkiti.

“Saya terduduk ketika mendapat laporan yang mengesahkan saya bersama 15 ahli keluarga positif Covid-19. Bahkan ada dalam kalangan kami berusia dua tahun telah mengalami gejala iaitu demam dan sukar bernafas. Jadi saya mahu vaksin,” katanya.

Sementara itu, ibunya, Zainab Mahmood, 76, berkata, dia kini menunggu panggilan kedua untuk suntikan vaksin.

“Ambillah vaksin. Jangan memandang ringan janji temu untuk vaksin kerana masih ramai di luar sana yang menunggu untuk vaksin tetapi tertangguh pula disebabkan oleh individu yang tidak datang janji temu,” kata warga emas itu.

Dalam pada itu, terdapat sebuah lagi keluarga juga berkongsi pengalaman yang sama apabila ahli keluarga dijangkiti Covid-19 turut mendorong mereka yang terdiri daripada 23 individu ingin segera diberikan suntikan vaksin melalui pendaftaran Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Kesemua mereka berusia antara dua tahun dan 60 tahun yang kini ditempatkan di Stesen Kuarantin (QS) di Sektor Sumber Teknologi Pendidikan, Pengkalan Chepa di sini.

Seorang daripada mereka yang enggan namanya didedahkan berkata, adik lelakinya disahkan positif Covid-19 menyebabkan mereka sekeluarga yang tinggal sekampung di Kampung Pantai Haji Nik Mat menjadi kontak rapat.

“Kami seramai 23 orang kesemuanya termasuk kanak-kanak berusia dua tahun ditempatkan di sini. Kami mahu segera divaksin.

“Buat masa ini kami masih menunggu keputusan swab dan mengharapkan keputusannya negatif serta boleh bebas selepas 10 hari kerana tidak mahu berada dalam kalangan mereka yang mungkin positif Covid-19,” katanya ketika ditemui di QSdi Sektor Sumber Teknologi Pendidikan, Pengkalan Chepa.

Sumber: Sinar Harian

Tags: , , , , ,

Category: INFORMASI, KESIHATAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *