Tiga Cucu Ubat Kerinduan Terhadap Anak Dan Menantu

| April 26, 2021 | 0 Comments

Tiga Cucu Ubat Kerinduan Terhadap Anak Dan Menantu | Rindu seorang ibu terhadap anaknya yang sudah tiada sangat perit dan siksa. Namun bagi seorang wanita ini, tiga cucunya lah tempat dia bermanja dan mengubat kerinduan terhadap anak dan menantunya.

Tiga Cucu Ubat Kerinduan Terhadap Anak Dan Menantu

Marang: “Setiap hari mereka akan tanya di mana mummy dan daddy, saya hanya mampu jawab mereka ada di syurga,” kata Zainab Mamat, 63, nenek kepada tiga beradik yatim piatu.

Zainab berkata, meskipun sedih dengan kemalangan tragis yang menimpa arwah anak perempuannya, Surawati Mohd, 33, serta menantunya Muhammad Noor Idham, 31, dua tahun lepas, namun dengan kehadiran tiga cucu lelakinya sekurang-kurangnya dapat mengurangkan kerinduan terhadap mereka.

“Sekarang saya ayah dan ibu untuk tiga beradik ini bermanja. Doakan saya diberi kesihatan yang baik dan panjang umur untuk terus mencurahkan kasih sayang kepada mereka semua,” katanya yang bersyukur kerana nasib tiga cucunya itu masih mendapat perhatian banyak pihak termasuk rakan-rakan arwah anaknya hingga kini.

Tiga beradik itu, Aryan Rizky, 8, Areesh Razeen, 6, dan Arfan Rakeen, 4, kini tinggan bersama neneknya dan dua lagi ibu saudara mereka yang menetap sama di rumah itu. Ibu bapa mereka meninggal dunia kerana terlibat dengan kemalangan di Kilometer 134 Jalan Kuantan-Seremban dekat Muadzam Shah, Pahang.

Lebih meruntun hati, tiga beradik itu sering menceritakan kenangan indah bersama ibu bapa mereka semasa melakukan pelbagai aktiviti seperti percutian dan mendaki bukit. Mereka tiga beradik meluahkan rasa rindu terhadap kedua ibu bapa mereka dengan menatap foto dan video yang ada pada telefon bimbit milik arwah.

“Setiap kali melintasi Tanah Perkuburan Islam Seberang Marang di sini, tiga beradik ini akan ucapkan salam kepada mummy mereka dan beritahu mereka mahu pergi sekolah dan melambai tangan dari kejauhan,” katanya.

Apabila ditanya mengenai persiapan menyambut Aidilfitri tidak lama lagi, Zainab berkata, mereka akan menyambut secara sederhana sahaja. Namun apa yang menarik perhatian apabila tiga cucunya itu sangat teruja ingin membeli baju Melayu berwarna merah pada tahun ini.

Sementara itu, Presiden KAWAT, Khairul Azlam Mohamad berkata, program Ziarah Kasih Ramadan itu adalah rutin tahunan kelab itu sejak beberapa tahun lepas bagi menyantuni golongan tidak bernasib baik seperti anak yatim piatu, pesakit kronik dan ibu tunggal.

“Hari ini, KAWAT menyampaikan sumbangan RM500 hasil derma daripada orang ramai yang bersimpati dengan nasib tiga anak yatim piatu ini serta sedikit barangan keperluan dapur untuk menceriakan sambutan Aidilfitri tidak lama lagi,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

Tags: , , ,

Category: KELUARGA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *