Tiga Individu Direman Gara-gara Terlibat Rasuah Judi Dalam Talian | Perkembangan pesat teknologi digital ternyata mampu merangsang pertumbuhan ekonomi negara, namun hakikatnya ia juga membuka pintu kepada aktiviti perjudian dalam talian yang semakin berleluasa.

Liputan telekomunikasi jalur lebar yang semakin meluas telah meningkatkan penggunaan teknologi secara mobiliti, namun apabila telah disalahgunakan terutamanya untuk tujuan perjudian, impaknya amat memudaratkan.

Tiga Individu Direman Gara-gara Terlibat Rasuah Judi Dalam Talian

Tawau: Tiga individu termasuk ketua sindiket ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu rasuah berkaitan perjudian haram dalam talian.

Perintah reman terhadap lelaki berumur 42 bersama dua wanita masing-masing berusia 23 dan 57 tahun dikeluarkan oleh Majistret Dzul Elmy Yunus bermula 21 hingga 27 Jun di Mahkamah Majistret Tawau pagi ini.

Sementara itu, ketiga-tiga suspek tiba di mahkamah pada jam 9.26 pagi dengan menaiki kenderaan SPRM dan tangan bergari sebelum dibawa masuk ke bilik bicara mahkamah.

Mereka disiasat mengikut Seksyen 16(b)(B) Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Semalam, media melaporkan suspek ditahan dalam satu serbuan jam 11 pagi di sebuah premis di pusat bandar di sini kerana disyaki menjalankan aktiviti perjudian haram.

Dalam pada itu, turut dirampas wang tunai berjumlah kira-kira RM40,000 selain menyita akaun berjumlah lebih RM300,000 yang membabitkan empat akaun bank milik suspek dipercayai hasil perjudian.

Difahamkan, suspek lelaki tempatan terbabit turut disyaki membayar wang rasuah kepada beberapa anggota agensi penguat kuasa di sekitar daerah ini bagi melindungi kegiatan perjudian tanpa lesen yang dijalankannya sejak beberapa tahun lalu.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, S Karunanithy, dalam kenyataannya berkata beberapa siri tangkapan susulan akan dijalankan dalam masa terdekat.

Sumber: Berita Harian

Share.

Leave A Reply