Empat Beranak Terpaksa Jadikan Bangsal Mengaji Al-Quran Sebagai Rumah

| June 21, 2021 | 0 Comments

Empat Beranak Terpaksa Jadikan Bangsal Mengaji Al-Quran Sebagai Rumah | Empat beranak yang tidak mampu untuk menyewa rumah terpaksa menjadikan bangsal mengaji al-Quran yang uzur milik ahli keluarganya di Kampung Pulau Kundur, Kota Bharu untuk dijadikan tempat mereka ber­teduh sejak empat tahun lalu.

Empat Beranak Terpaksa Jadikan Bangsal Mengaji Al-Quran Sebagai Rumah

Mohd. Kamarul Azam Husin,37, bersama isteri Atikah Azmi,28, dan dua orang anak mereka tidak mempunyai pilihan lain kerana pendapatannya yang bekerja sebagai buruh hanya sekadar cukup makan sehingga tidak mampu menyewa rumah.

Katanya, bagaimanapun, bangsal yang berkeluasan dua buah bilik itu sudah cukup buat mereka sekeluarga untuk tinggal kerana mereka tidak mahu menyusahkan ahli keluarga yang lain.

“Bangsal ini asalnya tempat mengaji al-Quran oleh arwah nenek saya sejak 20 tahun lalu, namun ia sudah tidak digunakan sebelum saya dan keluarga berpindah ke sini, sebelum isteri melahirkan anak kedua kami.

“Sebelum ini, kami sekeluarga menetap di rumah ibu saya yang terletak bersebelahan bangsal nenek. Disebabkan sudah enam orang tinggal di situ, saya mengambil keputusan untuk berpindah ke bangsal ini,” katanya.

Menurutnya lagi, selain ruang yang terhad, bangsal itu juga tidak mempunyai tandas dan bekalan elektrik juga terpaksa disambungkan dari rumah ibunya selain bahagian lantai dan dinding sudah hampir reput kerana dimakan anai-anai.

Katanya, ia juga semakin runsing berikutan tidak dapat keluar bekerja sejak sebulan yang lalu kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh dilaksanakan.

“Sebelum ini, saya dapat memperoleh pendapatan seba­nyak RM200 seminggu dengan melakukan kerja buruh membuat rumah. Wang itu sekurang-kurangnya mampu digunakan untuk membeli keperluan harian termasuk makanan kami sekeluarga.

“Saya kini sudah tiada langsung pendapatan. Ada juga saudara mara yang membantu kami. Penghulu Mukim Kampung Pulau Kundur, Rosli Mat Husin juga ba­nyak membantu memberi bekalan keperluan asas,” katanya.

Sementara itu, Rosli berkata, dia telah memaklumkan kepada Majlis Adat Dan Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) untuk mendapatkan bantuan buat keluarga terbabit.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghulurkan bantuan menerusi akaun Bank Islam Mohd. Kamarul Azam, 03036021095063 atau hubunginya di talian 011 -2569 4689.

Sumber: Kosmo

Tags: , , , , ,

Category: KELUARGA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *