Tiga lelaki ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes tertembak rakan dalam kejadian di sekitar Sungai Gabai, di sini pada awal pagi semalam.

Tiga Lelaki Ditahan Polis Akibat Tertembak Rakan. Ini CERITA SEBENAR

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, kejadian berlaku pada pukul 7.15 pagi semalam apabila empat lelaki terbabit dalam perjalanan ke kebun durian yang terletak di atas lereng bukit.

“Hasil siasatan mendapati salah seorang rakan mangsa yang membawa senapang patah telah tergelincir di lereng bukit mengakibatkan senjata api yang dipegang terpelanting.

“Mangsa yang merupakan lelaki berusia 32 tahun itu telah terkena tembakan sebelum disahkan mati di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Menurut Zaid, siasatan forensik mendapati terdapat beberapa kesan tembakan peluru di badan mangsa dipercayai dari senapang patah yang dibawa salah seorang suspek berkenaan.

“Hasil semakan pula menunjukkan senjata api itu dilesenkan atas nama bapa saudara kepada salah seorang rakan mangsa.

“Susulan itu, ketiga-tiga rakan mangsa yang berusia lingkungan 36 hingga 43 tahun itu ditahan polis bagi membantu siasatan,” ujarnya.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.

Tambahnya, orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menyalurkan kepada balai polis terdekat atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan, Redzuan Mat Salleh di talian 013-7854100 bagi membantu siasatan.

Sumber : Kosmo

Share.

Leave A Reply