Tiga Tahun Pemuda Ini Ditipu, Rupanya Makcik Kekasih Dan Kekasih Adalah Orang Sama | Seorang lelaki di Hangzhou, China dipercayai telah diperdaya selama tiga tahun oleh seorang wanita yang menyamar sebagai kekasihnya.

Tiga Tahun Pemuda Ini Ditipu, Rupanya Makcik Kekasih Dan Kekasih Adalah Orang Sama

Menurut Mothership Sg, mangsa, Lu (bukan nama sebenar) yang berusia 28 tahun telah berkenalan dengan seorang wanita pada 2017 bernama Yang (bukan nama sebenar) melalui satu platform atas talian.

Mereka kemudiannya berkawan selama beberapa bulan sebelum Yang mendakwa keluarganya memaksanya untuk berkahwin dengan seorang lelaki yang tidak dikenali.

Berniat untuk membantu wanita itu, Lu telah pergi ke bandar Fuyang di mana kekasihnya, Yang dipercayai tinggal.

Bagaimanapun, selepas bermusafir sejauh 400km dan tinggal di bandar itu selama sebulan, dia tetap tidak dapat bertemu dengan wanita itu, tulis portal tersebut.

Sebaliknya, dia telah ‘diperkenalkan’ dengan makciknya Yang bernama Xu yang mendakwa keluarga wanita itu telah membatalkan niat mereka untuk mengatur perkahwinan wanita tersebut.

Tambah Mothership.sg, Lu kemudiannya pulang ke tempat asalnya sebelum sekali lagi ke Fuyang untuk bertemu teman wanitanya itu pada Mac 2018.

Pun begitu, hasratnya sekali lagi tidak tercapai apabila wanita tersebut mendakwa tidak dapat keluar kerana pemantauan keluarga. Dia memberitahu kononnya makciknya akan pergi ke tempat tinggal lelaki itu di Hangzhou dalam masa dua bulan bagi bertemu dan menilai lelaki itu bagi pihak keluarganya sebelum mereka berkahwin.

Menganggap perkara ini sebagai penilaian untuk mengetahui sejauh mana perasaannya terhadap Yang, lelaki itu tidak mengesyaki sesuatu, lapor Mothership.sg.

Beberapa bulan kemudian, ‘ibu saudara’ Yang, Xu yang berusia 46 tahun datang mencari lelaki berkenaan dan tinggal bersama.

Wanita itu yang tidak bekerja dipercayai membantu Lu menguruskan kedai barangan terpakai milik lelaki itu dan bertindak sebagai ‘orang tengah’ antara mangsa dan Yang.

Dipercayai bagi melindungi tembelangnya, wanita itu meminta Lu agar menjawab panggilan Yang di dalam keretanya atau ruang bawah rumahnya kononnya bagi mengelakkan salah sangka.

Setelah bertahun perkenalan, Yang meminta lelaki itu mengirimnya wang setiap bulan sebagai simpanan perkahwinan. Tanpa mengesyaki apa-apa, lelaki itu akur dan memindahkan puluhan ribu RMB kepada wanita itu dalam tempoh tiga tahun.

Tembelang Xu pecah pada 20 Ogos lalu ketika Lu membantunya menukar lapisan perlindungan telefonnya.

Lelaki itu dipercayai sempat membaca beberapa perbualan wanita itu yang penuh ayat-ayat manis, dengan nada seakan perbualan dirinya dan teman wanitanya, Yang.

Curiga dengan wanita tersebut, Lu kemudiannya memasang alat perakam di rumahnya untuk merakam wanita itu ketika dia mengangkat panggilan Yang di luar rumah.

Hasilnya, dia mendapati Xu dan Yang adalah orang yang sama sebelum membuat laporan kepada pihak polis.

Setelah disoal siasat, Xu mengaku menggunakan nama Yang sebagai karakter untuk memperdaya lelaki berkenaan. Malah, wanita itu dikatakan mempunyai beberapa akaun media sosial yang menyamar sebagai wanita lain dengan pelbagai latar belakang, antaranya sebagai janda atau wanita muda untuk memperdaya mangsa.

Sumber : Mothership Sg

Share.

Leave A Reply