Tiga Wanita Ditahan Pecah Tabung Surau | SEREMBAN: Tiga orang wanita yang dipercayai menjadi dalang kegiatan jenayah pecah tabung masjid dan surau di sekitar daerah ini terbongkar dengan penahanan kesemua suspek baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, ketiga-tiga suspek berusia 26 hingga 28 tahun itu ditahan dalam beberapa siri tangkapan dari 1 Jun lalu sehingga semalam.
Difahamkan dalam kejadian terbaru kira-kira pukul 6.30 petang 26 Mei lalu, suspek dikatakan menyamun wang dari tabung sebuah surau di Taman Dato Wan, Paroi, di sini.
Arifai berkata, pihak Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban menerima laporan polis daripada seorang lelaki mendakwa tabung surau dipecahkan dan semua wang dilarikan.
“Pada pukul 8.56 malam, 31 Mei lalu, pihak polis telah menerima laporan daripada ahli jawatankuasa (AJK) surau di Taman Dato Wan yang menyatakan tabung surau telah dipecahkan. Laporan hanya dibuat selepas lima hari kejadian.
“Hasil siasatan mendapati suspek memotong mangga pada tabung dan mengambil semua wang di dalamnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, dengan tertangkapnya kesemua suspek dalam kes tersebut pihak polis berjaya menyelesaikan tiga kes pecah tabung masjid dan surau di sekitar Seremban.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencuri dalam bangunan. Kesemua suspek telah direman sehingga 5 Jun ini bagi membantu siasatan,” katanya.
Sumber: UTUSAN
ARTIKEL LAIN YANG BOLEH DIBACA
Curi Sotong Dan Ikan, Pekerja Kilang Ditangkap
YAN: Seorang pekerja kilang direman selama enam hari bagi membantu siasatan mencuri sotong dan ikan milik seorang peniaga kedai makan di Kompleks Perniagaan Guar Utama, Guar Chempedak, di sini pada Khamis lalu.
Suspek berusia 25 tahun itu dicekup polis pada 4 Mei lalu di rumahnya di Sungai Limau Luar, di sini setelah mengaku melakukan perbuatan itu bersama seorang lagi rakannya yang melarikan diri sebaik menyedari kegiatan mereka tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintenden Shahnaz Akhtar Haji berkata, laporan diterima daripada pemilik kedai makan itu setelah menyedari empat kotak berisi ikan dan dua kotak sotong bernilai RM1,000 yang diletakkan di hadapan premisnya hilang.
“Pemilik berumur 37 tahun itu memeriksa kamera litar tertutup (CCTV) dan mendapati dua lelaki menaiki sebuah motosikal jenis Y15 telah mengambil kesemua stok bekalan untuk kegunaan kedai makannya.
Hasil risikan polis berjaya menahan suspek dan dia mengaku telah mencuri stok itu sebelum menjualnya kepada seorang peniaga wanita dengan harga RM150,” katanya.
Kata Shahnaz, pihaknya merampas semula sotong dalam anggaran berat tiga kilogram daripada peniaga wanita terbabit.
“Suspek direman selama tiga hari setelah ditangkap sebelum disambung reman selama tiga hari lagi sehingga 10 Mei ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
“Kita sedang menyiapkan kertas siasatan untuk dimajukan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk proses undang-undang seterusnya dan dalam masa sama sedang menjejaki rakan subahatnya yang telah menghilangkan diri,” katanya.
SUMBER: KMN