Mayat remaja yang hilang ketika mandi bersama rakannya di Pantai Batu Layar semalam berjaya dijumpai kira-kira 100 meter dari lokasi mangsa dilaporkan lemas.
Mayat Hani Suefyan Hanizam, 16, dijumpai pukul 5.20 petang tadi selepas kira-kira satu jam lebih azan dilaungkan bapa saudaranya Abdul Rahim Hashim, 26, di pantai berkenaan yang turut menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, mayat mangsa ditemui pasukan penyelamat yang menyambung semula operasi SAR pada pukul 3 petang kelmarin.
“Hasil operasi SAR pada hari kedua, kita berjaya menemukan mangsa yang hilang dan disahkan telah meninggal dunia disyaki akibat lemas. Mayat mangsa ditemukan dalam keadaan terapung dan sedang dibawa oleh arus ke pantai.
“Mayat mangsa juga sudah dicamkan oleh ibu bapanya. Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kota Tinggi (HKT) di sini, untuk tujuan bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian,” katanya ketika ditemui pada operasi SAR di lokasi kejadian di sini, kelmarin.
Jenazah Hani Suefyan dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Alai, Gemereh, Segamat.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan seorang remaja ditemui lemas, manakala seorang lagi masih hilang dan dikhuatiri lemas ketika mandi-manda di Pantai Batu Layar di sini, semalam.
Dalam kejadian pukul 1.26 petang semalam, Mohamad Imran Mohd Nazir, 17, dilaporkan meninggal dunia, manakala Hani Suefyan tidak ditemui.
Sumber : Kosmo
ARTIKEL LAIN YANG BOLEH DIBACA
Wanita Larikan Diri Dari Polis Ditemui Terapung Di Sungai Belat
Mayat wanita yang terjun ke Sungai Belat dekat Jeti Tanjung Punai, di sini, ketika cuba melarikan diri daripada serbuan polis ditemukan lemas, 11.36 pagi.
Mayat mangsa berusia 42 tahun itu ditemukan terapung oleh unit selam Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, kira-kira 50 meter dari lokasi mangsa terjun.
Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Wan Zahari Wan Busu berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) disambung pada hari kedua kira-kira 8 pagi.
“Pencarian bertumpu kepada rondaan menggunakan bot di sepanjang sungai berkenaan meggunakan tiga buah bot milik Polis Marin dan JBPM.
“Turut memberi bantuan dalam operasi SAR adalah unit K9 JBPM mengunakan dua ekor anjing nama yang diberi naa Pop dan Blade,” katanya dalam kenyataan, di sini.
Katanya, mayat mangsa dibawa ke darat untuk siasatan lanjut dan pengecaman oleh anak mangsa mengesahkan identitinya.
Sumber : KMN