Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa 30 konsesi lebuh raya di seluruh negara telah bersetuju untuk menawarkan kadar tol percuma selama dua hari susulan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) hujung minggu ini.

Ismail Sabri berkata, kadar tol percuma itu akan bermula dari pukul 12.01 pagi 18 November (Jumaat) hingga 11.59 malam pada hari Sabtu, 19 November 2022.

“Kadar tol percuma ini akan melibatkan semua kenderaan jenis persendirian Kelas 1 sahaja yang dianggarkan kira-kira 90 peratus daripada jumlah keseluruhan kenderaan di lebuh raya.

“Implikasi kewangan daripada inisiatif ini akan diserap sepenuhnya oleh syarikat-syarikat konsesi lebuh raya sebagai salah satu dari inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) mereka, dengan anggaran kos tanggungan sebanyak RM34.5 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Tapak Wisma Cuepacs Putrajaya di sini hari ini.

Tambah beliau, tawaran pemberian tol percuma itu diputuskan setelah mengambil kira cadangan dan rundingan yang melibatkan antara Kementerian Kerja Raya dengan semua syarikat pengendali konsesi lebuh raya minggu lalu.

“Melalui inisiatif ini, kerajaan berharap agar ia dapat meringankan serba sedikit beban kewangan para pengguna khususnya warga negara untuk pulang mengundi demi melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai pemilih dalam sistem demokrasi yang diadakan setiap lima tahun sekali,” katanya.

Perdana Menteri juga mengumumkan hari kelepasan am pada 18 dan 19 November ini bagi memudahkan Keluarga Malaysia menunaikan tanggungjawab masing-masing untuk mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Beliau yang hadir merasmikan pecah tanah Wisma Cuepacs Putrajaya di sini, petang ini berkata, pengumuman hari kelepasan am dua hari itu dibuat berikutan ada kemungkinan syarikat swasta beroperasi pada Sabtu.

“Hari mengundi PRU-15 menjelang tiba. Sukacita saya umumkan kerajaan menetapkan Jumaat dan Sabtu iaitu 18 dan 19 November ini, sebagai hari kelepasan am bagi memudahkan urusan Keluarga Malaysia mengundi,” katanya.

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pula, cuaca pada hari pengundian bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Sabtu ini diramal baik pada sebelah pagi di beberapa negeri.

Jabatan itu dalam laman sesawangnya meramalkan tiada hujan pada sebelah pagi di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Bagaimanapun, MetMalaysia meramalkan ribut petir dan hujan dijangka berlaku di kebanyakan negeri pada sebelah petang terutamanya melibatkan negeri-negeri di Pantai Timur iaitu Pahang, Terengganu dan Kelantan serta negeri-negeri di sebelah utara iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak.

Putrajaya dijangka cuaca baik pada sebelah pagi dan petang, manakala Labuan pula diramal mengalami ribut petir di beberapa tempat pada pagi dan petang.

Cuaca dijangka baik di Sarawak pada pagi Sabtu namun ribut petir diramal berlaku di satu dua tempat di kawasan pedalaman di negeri itu pada waktu petang, manakala Sabah dijangka mengalami ribut petir di satu dua tempat pada pagi dan petang.

Suhu di seluruh negara diramal sekitar 22 darjah Celcius dan maksimum 33 darjah Celcius pada hari tersebut.

Sumber: Kosmo

Share.

Leave A Reply