Tular Remaja Pengsan Lepas Dapat Vaksin. Ini Respon Ibu Remaja Tersebut | “Banyak cerita bukan-bukan yang muncul mengenai anak saya. Saya minta tolong hentikanlah sebar berita tidak benar itu kerana anak saya sihat, tiada apa-apa pun,” kata Ulfah Amat Idris, ibu kepada pelajar yang pengsan selepas menerima vaksin dos pertama di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Integrasi Encore, Klebang, di sini, semalam.
Menurutnya, apa yang lebih menyedihkan ada reka cerita anaknya, Muhammad Azim Hassan, 13, sudah meninggal dunia.
“Saya kecewa dengan penyebaran video berkenaan, ditambah pula membuat cerita yang salah serta bercanggah dengan apa yang berlaku.
“Ada yang mendakwa anak bongsu saya ini tidak bersarapan pagi sebelum menerima suntikan dan ada pula yang mendakwa anak saya hanya makan satu sudu saja pagi semalam, walhal sebelum pergi ke PPV, Muhammad Azim sudah bersarapan nasi lemak dua bungkus.
“Saya pun tak tahu siapa yang sebarkan cerita itu. Saya minta hentikanlah,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Bukit Duyong, di sini selepas menerima kunjungan Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, hari ini.
Semalam, tular di media sosial satu video pendek berdurasi 36 saat yang memaparkan remaja berkenaan dipapah seorang lelaki dalam keadaan longlai selepas menerima suntikan vaksin.
Dia kemudian dibawa oleh anggota Rela bertugas masuk ke dalam PPV untuk menerima rawatan.
Mengulas lanjut, ibu kepada empat anak itu berkata, Muhammad Azim pengsan selepas menerima vaksin berkenaan kira-kira jam 11 pagi semalam adalah disebabkan terlalu takut.
Katanya, hasil pemeriksaan doktor juga mengesahkan keadaan kesihatannya baik, namun jantungnya berdegup agak laju.
“Tolonglah jangan sebarkan cerita yang bukan-bukan, malah saya juga tidak tahu siapa yang merakamkan video berkenaan sehingga menimbulkan pelbagai dakwaan mengenai vaksin.
“Tiga lagi anak saya berusia antara 17 hingga 21 tahun semua sihat selepas terima vaksin, cuma anak bongsu (Muhammad Azim) semalam sebelum vaksin dia cakap terlalu takut, tapi saya dan keluarga tetap memberinya semangat supaya tidak takut.
“Saya juga berterima kasih kepada semua pihak, termasuk pasukan keselamatan dan kesihatan yang membantu dalam kejadian semalam,” katanya.
Sumber : HM