Jabatan Penjara Malaysia menafikan dakwaan bahawa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang kini menjalani hukuman, dibenar membuat rakaman video di dalam premis penjara.
Penafian itu menyusul selepas tular video rakaman yang memaparkan temubual bersama Najib yang disiarkan RTM, sehingga mengundang pelbagai komen termasuk dalam kalangan pemimpin pembangkang.
“Jabatan Penjara Malaysia menegaskan bahawa tiada apa-apa rakaman video yang membabitkan Najib dibuat oleh mana-mana agensi media di dalam premis penjara seperti mana yang ditularkan.
“Hasil semakan menunjukkan video terbabit sudah dirakam lebih awal oleh pihak RTM sempena Kembara Keluarga Malaysia Episod 57 iaitu sebelum Najib dipenjarakan.
“Video ditayangkan di TV1 pada 24 Oktober 2022 (semalam) menceritakan tentang sejarah dan latar belakang Pekan, Pahang dan tidak berkaitan dengan politik,” katanya melalui kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Jabatan Penjara Malaysia meminta orang ramai untuk tidak menyebarkan maklumat tanpa semakan lanjut.
“Tindakan undang-undang boleh diambil ke atas individu yang tidak bertanggungjawab,” katanya merujuk pautan sebahagian rakaman program berkenaan.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa, sebelum ini memaklumkan kementeriannya menerbitkan travelog Kembara Keluarga Malaysia, satu dukungan kepada konsep Keluarga Malaysia yang diperkasakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Tiga skop utama yang akan dipaparkan melalui travelog itu adalah alam semula jadi, kehidupan manusia dan juga pembangunan, mula ditayangkan di saluran RTM menerusi TV1 pada penghujung Mei lalu.
Sumber : Berita Harian