Ujian Saringan Covid-19 Percuma Untuk Warga Selangor Bermula 8 Mei | Negeri Selangor merupakan negeri yang paling tinggi mencatatkan jumlah kes Covid-19 beberapa minggu ini. Disebabkan hal itu juga, kerajaan negeri Selangor telah mengambil keputusan untuk melaksanakan sistem pengawasan melalui konsep pengesanan kes aktif di seluruh Selangor yang akan melibatkan 56 DUN.
Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari telah mengumumkan ujian saringan yang bakal dilaksanakan itu dibuat secara percuma buat semua warga Selangor.
Katanya melalui halaman posting di Twitter, kerajaan negeri menggalakkan semua rakyat negeri Selangor untuk menjalani ujian saringan dan juga pengambilan vaksin sebagai usaha untuk memerangi wabak Covid-19 yang semakin meningkat beberapa minggu ini.
Difahamkan, ujian saringan ini akan bakal dilaksanakan bermula pada 8 Mei 2021 di DUN Kajang dan DUN Semenyih dan juga diikuti dengan DUN yang lain sehingga 10 Jun 2021.
“Saringan percuma ini akan dilaksanakan di dua DUN setiap hari dan akan meliputi 56 DUN yang terletak di dalam negeri kawasan Selangor,” katanya.
Dalam pada itu, Amirudin Shari mengatakan program seperti ini diwujudkan untuk memberi peluang kepada rakyat negeri Selangor yang berisiko serta mungkin pada sebelum ini pernah menjadi sebagai kontak rapat dengan pesakit Covid-19 sekaligus merisaukan kesihatan mereka untuk membuat pengesanan awal.
Menurut MB Selangor lagi, apa yang membimbangkan pada ketika ini ialah berkemungkinan terdapat rakyat Selangor yang sudah dijangkiti wabak itu namun, tidak menyedari bahawa dirinya telah dijangkiti atau diistilahkan sebagai ‘pembawa senyap’.
Golongan seperti ini dikatakan boleh menularkan lagi wabak yang sedia ada sekaligus boleh menjangkiti kumpulan yang berisiko tinggi seperti kanak-kanak dan juga warga emas.
Diharapkan dengan inisiatif dari kerajaan negeri Selangor ini dapat mengurangkan kes yang semakin meningkat di negeri ini.
Sumber: Lobak Merah