SABAK BERNAM: Umat Islam ditegaskan supaya tidak menyertai sebarang aktiviti keagamaan yang tidak mempunyai kaitan dengan Islam terutama ‘Bon Odori’ yang akan berlangsung di Shah Alam pada 16 Julai ini.
Aktiviti tersebut merupakan tradisi masyarakat Jepun beragama Buddha mengandungi unsur pemujaan terhadap nenek moyang yang sudah meninggal dunia dan dalam masa sama mendoakan mereka tidak menderita selepas mati.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad, perayaan yang akan diadakan di Kompleks Sukan Negara Shah Alam itu disahkan mempunyai unsur-unsur keagamaan dan bertentangan dengan Islam.
“Kajian dibuat oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), memang ada unsur-unsur keagamaan, kita nasihatkan kepada orang Islam tidak perlulah sertainya. Banyak lagi (aktiviti) lain yang kita boleh sertai.
“Kita harap kekeliruan ini tidak diwujudkan, di pihak Jakim, kita menasihatkan orang Islam jangan sertai program-program sedemikian, bukan itu sahaja , tetapi apa-apa jua yang membabitkan soal agama, kita kena sayang dengan agama kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ditemui pemberita selepas merasmikan pecah tanah Kompleks Pendidikan Yayasan Pendidikan Islam Selangor di Sungai Panjang, hari ini.
Terdahulu, tular poster penganjuran perayaan Bon Odori dipercayai anjuran Kelab Jepun Kuala Lumpur, Sekolah Jepun Kuala Lumpur dan Kedutaan Besar Jepun di negara ini.
Poster promosi penganjuran festival itu juga memaparkan imej anime wanita berhijab yang memakai kimono dan ia mendapat reaksi negatif di media sosial terutamanya dalam kalangan umat Islam di negara ini.
Program tersebut dikatakan mendapat kerjasama daripada pelbagai organisasi termasuk Tourism Selangor Sdn. Bhd. serta disokong oleh Kerajaan Negeri Selangor, Invest Selangor Berhad dan Perbadanan Stadium Malaysia.
SUMBER : Utusan