(Video) 8 Rumah Flat Sri Johor Terbakar, Simpanan Tunai Mangsa 40k Hangus | Lapan rumah di tingkat lima Blok 31 Perumahan Awam Sri Johor, Cheras di Kuala Lumpur terlibat dalam kebakaran malam tadi.

(Video) 8 Rumah Flat Sri Johor Terbakar, Simpanan Tunai Mangsa 40k Hangus

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur berkata kebakaran berlaku pada kira-kira 9.20 malam dan operasi pemadaman sedang dijalankan.

Menurutnya kebakaran dipercayai bermula di bahagian tengah blok berkenaan sebelum merebak di keseluruhan tingkat.

“Setakat ini, bomba masih menyiasat sama ada kejadian melibatkan kemalangan jiwa.

“Kebakaran dipercayai berpunca daripada kebocoran gas,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Menurut jurucakap bomba, tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan melibatkan penghuni lapan unit kediaman tersebut.

“Pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 9.17 malam dan seramai 35 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pudu, BBP Hang Tuah, BBP Sri Hartamas, BBP Keramat dan BBP Cheras digegaskan ke lokasi kejadian.

“Kebakaran memusnahkan 100 peratus keseluruhan tingkat empat itu. Operasi pemadaman menggunakan teknik ‘water tower’ jentera khas Aerial Ladder Platform (ALP) dan Turn Table Ladder (TTL),” katanya.

Sementara itu, tinjauan Bernama mendapati kebakaran dapat dikawal sepenuhnya pada kira-kira 11.30 malam tadi.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Shahidan Kassim turut melawat lokasi kebakaran itu.

Simpanan bertahun-tahun seorang mangsa kebakaran Perumahan Awam Sri Johor, Bandar Tun Razak, di Kuala Lumpur, hilang begitu sahaja apabila wang tunai RM40,000 miliknya hangus dijilat api.

Mangsa, T Mary, 37, berkata selain kesal kerana menyimpan wang tunai yang banyak di rumah, dia juga terkilan gara-gara gagal menyelamatkan beberapa barangan kemas yang dikumpul sejak sekian lama.

“Ketika kejadian, saya berada di tempat kerja berhampiran hospital berdekatan dan menerima panggilan daripada kakak mengenai kebakaran ini.

“Tujuh orang tinggal di dalam rumah itu dan tiada sebarang kecederaan dilaporkan namun apabila semua ini terjadi, penyesalan terus menghantui diri kerana menyimpan wang tunai sebanyak itu di dalam rumah,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.

Dalam kejadian kira-kira 9.20 malam tadi, lapan unit rumah di tingkat empat, Blok 31 Perumahan Awam Sri Johor terbakar, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Kebakaran tersebut dipercayai bermula di bahagian tengah blok berkenaan lalu merebak di keseluruhan tingkat.

Seorang lagi mangsa kebakaran, R.Vincent yang berusia lingkungan 30-an berkata beliau menerima panggilan mengenai kebakaran itu daripada kakaknya dan tidak sempat pulang ke rumah.

“Ketika itu, saya berada di Taman Maluri, di sini bersama isteri dan dua anak untuk makan malam dan tiba-tiba kakak menelefon saya memaklumkan rumah sedang terbakar.

“Saya terkejut terus bergegas pulang dan apabila sampai di rumah, kakak saya sempat menyelamatkan diri dengan memecahkan mangga pintu menggunakan pisau kerana kunci ada pada saya,” katanya.

Sumber : MalaysiaKini

Share.

Leave A Reply