(VIDEO) Budak 5 Tahun ‘Kaki Buli’ Menangis Ibu Bawa Balai Polis | PETALING JAYA – Seorang kanak-kanak ‘kaki buli‘ menangis teresak-esak apabila ibunya membawanya ke balai polis kerana dikatakan sering mengacau murid lain di sekolah.
Kacau kawan-kawan dekat sekolah
Tindakannya itu bukanlah untuk menghukum, tetapi sebagai pengajaran supaya anaknya tidak menganggu murid lain lagi.
“Upah sebab selalu kacau orang dekat sekolah. Umi bawa betul-betul pergi balai.
“Umi dah stress dah. 100 kali minta maaf tak nak buat lagi. Tengok esok, kalau buat lagi kita hantar balik,” katanya menerusi ruangan kapsyen.
Melalui video yang dikongsi ibunya @Wanyzahar88 di media sosial, anaknya yang bersekolah tadika itu menangis teresak-esak sambil mengangguk faham mendengar nasihat daripada polis tersebut.
@wanyzahar88 Membalas kepada @ceqnur2881
“Jadi budak baik. Jangan pukul orang, berdosa nanti masuk neraka,” kata polis tersebut.
Komen netizen
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata orang ramai memberikan pelbagai reaksi dengan tindakan ibu kanak-kanak tersebut.
“Kesian, tapi nak ajar mereka sebelum mereka pandai buli. Sebelum jadi bahaya. Itulah mak-mak yang runsing dengan anak-anak. Mencabar,” kata Qiqiatiqah.
“Anak saya pernah kena ugut begini dia boleh jawab nak takut apa polis sama saja dengan pakcik dia. Aduhai nok jerik sero (aduhai nak menangis rasa),” ujar Nooradilla.
Perkongsian tersebut tular sehingga memperoleh lebih daripada 60,000 tontonan dan 1,859 tanda suka.
Sumber: Kosmo
ARTIKEL LAIN YANG BOLEH DIBACA
Abang Kepada Adik Maut Dicekik Pernah Jadi Mangsa Buli Di Asrama | MELAKA – Bapa kepada kanak-kanak yang maut dicekik abang kandung tidak menyangka keceriaan tiga daripada empat beradik makan serta bergelak tawa sehari sebelum kejadian adalah kenangan terakhir mereka bersama.
Pernah Jadi Mangsa Buli
Najli Yakob,42, berkata, mangsa Muhammad Haziq Damiri Najli, 9, sememangnya rapat dengan abang sulung berusia 14 tahun itu, namun kelakuan remaja terbabit berubah selepas didakwa menjadi mangsa buli di asrama sejak tahun lalu.
Dia yang bekerja sebagai tukang urut, mendakwa anaknya sebelum ini pernah memberitahu dibuli dan percaya kesan perbuatan tersebut telah menyebabkan dia mengalami trauma hinggakan sering meracau.
Katanya, insiden mencekik bukan pertama kali berlaku, namun dia dan isterinya yang bekerja sebagai jururawat di Hospital Melaka juga pernah dicekik remaja terbabit sebelum berlaku tragedi hingga meragut nyawa anak ketiga daripada empat beradik.
Dia Tak Sedar Perbuatan Dia Terhadap Adiknya
“Dia (abang) pernah beritahu dicekik ketika tidur, dan disimbah air, malah laporan polis berhubung kejadian buli juga telah dibuat, akibat trauma dan pendam segalanya, saya yakin dia tak sedar apa yang telah dilakukan terhadap adiknya.
“Dia mengakui pernah ditumbuk, disepak guna kasut but namun selepas setahun dia tak lagi sebut nama dua pelajar itu kerana tak mahu dicederakan lagi,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Piatu di sini, pada malam Rabu.
Ujarnya, meskipun reda dengan pemergian kanak-kanak, namun berharap kedua-dua pembuli itu dikenakan tindakan agar tiada lagi pelajar yang menjadi mangsa seperti yang terpaksa dilalui oleh anaknya hinggakan adik meninggal dunia.
Bercerita lanjut, bapa kepada empat orang anak berusia empat hingga 14 tahun itu, berkata, mangsa tidak menunjukkan sebarang perubahan malah kelihatan lebih ceria termasuk ketika mereka bercuti bersama di Kuala Lumpur pada Hari Raya Aidiladha baru-baru ini.
“Saya rasa bersalah sebab tinggalkan mereka berdua bersama, keadaan saya lemah dan longlai selepas dihubungi isteri memaklumkan arwah telah tiada,” katanya yang bergegas pulang ke rumah dari Terengganu.
Jenazah kanak-kanak lelaki itu dibawa ke rumah datuknya di Kampungku Sayang, Bukit Piatu sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Piatu.
Sinar Harian pada malam Rabu melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun maut dipercayai dicekik oleh abang sulungnya berusia 14 tahun dalam kejadian jam 12 tengah hari di Kampung Bukit Piatu.
Jiran mangsa yang juga saksi kejadian, Qhurun Ain Johani, 31, berkata, dia mengetahui insiden itu apabila dihubungi ibu mangsa yang memaklumkan anak sulung dari empat beradik itu sedang mencekik adiknya.
Sumber : SH