Bayi Lelaki 19 Bulan Ditemui Lemas Jatuh Dari Pelampung Terlepas Pegangan Bapa | BALING – Seorang bayi lelaki berusia setahun tujuh bulan ditemukan lemas dipercayai terjatuh dari pelampung yang dinaiki bersama bapa mangsa dalam kejadian kira-kira 11.51 pagi di Lubuk Pedati di sini, pada Sabtu.

bayi lemas

Pelampung Terlanggar Perdu Buluh

Seorang saksi enggan dikenali berkata, kejadian dikatakan berlaku ketika mangsa, Adryan Mikhael Mohamad Afiq bersama bapa dan seorang lagi kanak-kanak menaiki pelampung semasa beriadah di kawasan berkenaan.

Difahamkan, seorang lagi kanak-kanak lelaki berusia lingkungan dua tahun berjaya diselamatkan sementara mangsa dihanyutkan sungai.

Selain itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Mohd Jamil Mat Daud berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 12.04 tengah hari.

Bayi Lelaki Hanyut

Menurutnya, sepasukan anggota dari BBP Baling yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II, Mohd Jusoh Abdul Wahab tiba di lokasi tidak lama kemudian bagi operasi mencari dan menyelamat.

“Setibanya di lokasi, Komander Operasi memaklumkan terdapat seorang bayi lelaki hanyut ke dalam sungai berhampiran sebuah tapak perkhemahan.

“Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah turut meminta maklumat dari Pasukan Bomba Sukarela (PBS) berhampiran.

“Operasi turut dibantu malim gunung dan polis, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Persatuan Rekreasi Luar dan orang awam,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Jamil berkata, mayat ditemukan kira-kira 3.3 kilometer (km) dari tempat dilaporkan hilang.

Sumber : SH

 

 

ARTIKEL LAIN YANG BOLEH DIBACA

Solat Jumaat Terakhir Sebelum Anak Ditemui Maut Lemas

Solat Jumaat Terakhir Sebelum Anak Ditemui Maut Lemas | Tumpat: Dua mangsa jatuh bot di Sungai Kelantan di Kampung Pasir Pekan Hulu, di disini, petang kelmarin ditemukan lemas, selepas hilang hampir tiga hari.

Kedua-dua mangsa, Amrullah Fitri Afendi, 10, ditemukan 8.15 pagi tadi dalam jarak 900 meter (m) dari pusat kawalan tempat kejadian (PKTK), manakala bapa saudaranya, Wan Muhamad Najmi Wan Taib, 30, pula ditemukan bawah jambatan Sultan Yahya Petra, tidak jauh dari mangsa pertama dijumpai.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Amran Dolah berkata, jasad kedua-dua mangsa ditemukan terapung.

“Mayat kanak-kanak lelaki ditemukan di tebing sungai, manakala bapa saudaranya pula di tengah sungai iaitu bawah jambatan dengan jarak kira-kira 1.1 kilometer dari PKTK.

“Kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Tumpat untuk bedah siasat dan misi mencari dan menyelamat ditamatkan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Syukur dan reda

Sementara itu, bapa Amrullah, Afendi Ismail, 43, bersyukur atas penemuan anak lelaki dan adik iparnya itu selepas tiga hari hilang di sungai.

Afendi, 43, berkata, sejak kehilangan kedua-dua ahli keluarganya itu, solat hajat tidak henti diadakan sama ada membabitkan keluarga, penduduk kampung atau sekolah anaknya itu.

Laungan azan juga sentiasa dibuat di tebing sungai dengan harapan Abang Ngah (Amrullah) dan Najmi ditemukan walau dalam apa jua keadaan.

“Kami reda menerima takdir ini, walau ditemukan dalam keadaan tidak bernyawa, sekurang-kurangnya mereka berdua ada pusara,” katanya.

Dalam kejadian 6.45 petang kelmarin, enjin bot dinaiki suami isteri, Nor Awadah Sulong, 30, dan Wan Muhamad Najmi Wan Taib, 30, anak perempuan mereka, Wan Nur Ameena Wan Muhamad Najmi, 14 bulan serta anak saudara, Amrullah Fitri Afendi, 10, tiba-tiba mati, menyebabkan tiga daripada mereka terpelanting dan terjatuh ke dalam sungai.

Nor Awadah ditemukan lemas, anak perempuannya selamat.

Sebelum ini, Bapa kepada seorang budak lelaki yang lemas di Sungai Kelantan dekat Kampung Pasir Pekan Hulu di sini petang semalam tidak menyangka keterujaan anaknya itu untuk menaiki bot bersama bapa saudaranya berakhir tragedi.

Afendi Ismail, 43, berkata, dia dan anak tunggalnya, Amrullah Fitri Afendi, 10, itu bertolak dari rumah mereka di Kampung Patek, Kadok selepas menunaikan solat Jumaat apabila mangsa beria-ria mahu bersiar-siar menaiki bot milik datuknya.

Menurutnya, apabila tiba di kampung, bapa saudaranya, Wan Muhamad Najmi Wan Taib, 30 , bersama isteri, Norawaddah Sulong, 30, dan anak yang berusia 14 bulan dilihat bersiap sedia untuk menaiki bot mereka di pinggir Sungai Kelantan.

Anak beria mahu naik bot sempena cuti raya

“Jadi, Amrullah Fitri terus menaiki bot milik Wan Muhamad Najmi. Dia beria-ria mengajak saya untuk pulang ke rumah datuknya kerana mahu bersiar-siar di Sungai Kelantan dengan menaiki bot semasa cuti sempena Hari Raya Aidiladha.

“Selepas itu, saya terus pergi ke rumah saudara di Kampung Kutan Tengah di sini sebelum menerima panggilan telefon kira-kira pukul 7 malam yang mengatakan kesemua mereka lemas selepas bot tersebut tiba-tiba rosak,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian hari ini.

Afendi memberitahu, dia terus bergegas ke lokasi kejadian sebelum mendapati mayat Norawaddah terbaring di tepi sungai sementara penduduk kampung mencari anaknya dan Wan Muhamad Najmi di kawasan sungai.

Menurutnya, dia sempat melaungkan azan di lokasi kejadian semasa operasi mencari dan menyelamatkan anaknya dijalankan oleh polis, bomba dan penduduk kampung.

“Amrullah Fitri sempat membaca surah Yasin sebelum menunaikan solat Jumaat semalam. Dia juga berada di sebelah saya semasa menunaikan solat Jumaat di saf pertama di masjid berhampiran rumah kami,” katanya.

Kosmo! Online malam tadi melaporkan, seorang wanita maut, dua lagi hilang selepas bot yang dinaiki mereka tiba-tiba rosak menyebabkan mereka terpelanting ke dalam Sungai Kelantan dekat Kampung Pasir Pekan Hulu di sini.

Sumber: KMN

Share.

Leave A Reply