Tragedi Kepala Air: Mayat Putri Nor Fatin, 14 Masih Belum Ditemui | Chukai : “Saya yakin dia akan balik (ditemui). Kalau boleh kita nak lengkaplah penemuan mereka sekeluarga,” kata Rosilawati Yasin, 40.

Dia adalah ibu saudara kepada Putri Nur Fatin, 14, mangsa terakhir tragedi kepala air di Jeram Air Putih, Kemaman yang masih belum ditemui.

Rosilawati yang juga adik ipar kepada Allahyarham Azizah Eiyi, 40, yang turut terkorban dalam tragedi itu berkata, sudah seminggu mayat anak saudaranya itu masih belum ditemui.

“Saya tidak anggap harapan menemuinya tipis tetapi yakin Putri Nor Fatin akan ditemui.

Mahu Putri Nor Fatin dikebumikan bersama ibu bapa dan adik-beradik

“Keluarga mahu Putri Nor Fatin dikebumikan bersama kedua ibu bapa dan adik beradiknya yang lain,” katanya ketika ditemui di Pusat Kawalan Operasi di Balai Polis Air Putih, hari ini.

Katanya, dia tidak putus memanjat doa supaya jasad anak saudaranya ditemui segera.

“Kalau boleh nak cepatlah jumpa mayat itu kalau boleh hari ini juga. Tapi tengok pada dia orang (pasukan penyelamat) penat kesian juga.

“Kalau tak jumpa hari ini, esok nak juga jumpa dan bawa balik. Mereka pergi berkelah 10 orang biarlah mereka pulang dengan 10 orang,” katanya yang ditemani suaminya, Aimi Eiyi, 46.

Sehingga jam 6 petang ini, mayat mangsa masih belum ditemui.

Skala pencarian akan dikecilkan

Semalam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memutuskan untuk menutup pusat kawalan operasi di Air Putih di sini petang tadi setelah tujuh hari operasi mencari dan menyelamat mangsa tragedi kepala air Jeram Mawar dilaksanakan.

Ketua Zon 2 JBPM Terengganu, Azman Alias berkata, penutupan itu bermaksud operasi mencari dan menyelamat baki satu mangsa yang masih belum ditemui akan dikecilkan mulai esok.

“Kita turut menutup dua pusat kawalan hadapan di Kampung Pasir Minal dan Kampung Seberang Tayor di sini berkuatkuasa pukul 6 petang tadi. Pusat kawalan operasi dipindahkan ke Balai Bomba dan Penyelamat Cheneh di sini,” katanya di sini hari ini.

Azman berkata, keputusan untuk mengecilkan operasi mencari dan menyelamat Putri Nor Fatin, 14, yang masih hilang dibuat ekoran ketiadaan sebarang petunjuk sehingga kini.

Jelas beliau, mangsa masih gagal ditemui walaupun pasukan mencari dan menyelamat telah memeriksa di segenap sektor pencarian seluas 32 kilometer.

“Begitupun, operasi mencari dan menyelamat masih akan diteruskan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Cheneh dan Chukai pada skala kecil. Saya mohon penduduk tempatan khususnya nelayan memaklumkan segera kepada kami sekiranya terjumpa sebarang petunjuk,” katanya.

Selasa lalu dilaporkan Putri Nor Fatin dan lapan ahli keluarga serta tunang kakak sulungnya dihanyutkan kepala air sewaktu berkhemah di Jeram Mawar pada Sabtu lalu.

Kesemua mangsa lain telah ditemui secara berperingkat dari Ahad hingga semalam dan selamat dikebumikan.

Sumber: Harian Metro & Kosmo

 

Sembilan Sekeluarga Dihanyut Kepala Air, Mayat Ibu & Anak Lelaki Sudah Ditemui | KEMAMAN – Identiti sembilan daripada 10 mangsa yang dikhuatiri lemas ekoran tragedi dihanyutkan kepala air di Jeram Mawar, Air Putih, di sini, telah dikenal pasti.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, mangsa merupakan sepasang suami isteri bersama tujuh anaknya berasal dari Felda Lepar Hilir, Gambang, Kuantan, Pahang.

Mayat ibu dan anak lelaki sudah dikenalpasti

“Selepas pengecaman mayat dilakukan oleh waris, mayat pertama ditemui dikenal pasti sebagai Azizah Eiyi, 40, manakala mayat kedua merupakan anaknya iaitu Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Hanyan berkata, pihaknya masih mengenal pasti identiti sebenar seorang lagi mangsa lelaki.

Operasi mencari berhenti sementara

“Operasi pencarian dihentikan sementara dan akan disambung esok pagi berikutan cuaca buruk ekoran hujan lebat dan membahayakan pasukan penyelamat,” katanya.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan dua mangsa ditemui meninggal dunia manakala lapan lagi dikhuatiri dihanyutkan kepala air ketika berkelah di jeram tersebut, petang semalam.

Mayat Azizah ditemui di tebing Kampung Pasir Gajah kira-kira pukul 12.45 tengah hari iaitu 24 kilometer dari lokasi mereka berkelah manakala mayat anaknya, Muhammad Zulqarnain Haikal pula ditemui kira-kira pukul 5 petang tiga kilometer dari lokasi kejadian.

Sumber: Kosmo

Share.

Leave A Reply