Seorang pegawai media skuad Piala Dunia Brazil mencetuskan rasa kurang senang netizen selepas satu insiden melibatkan seekor kucing yang muncul dalam satu sidang akhbar.
Penyerang Brazil, Vinicius Jr sedang bercakap kepada pemberita menjelang suku akhir Brazil menentang Croatia apabila seekor kucing melompat ke atas meja.
Biarpun agak terkejut, namun Vini Jr. meneruskan sidang media berkenaan, sebelum seorang pegawai bertindak ‘menghalau’ kucing berkenaan.
Namun apa yang menimbulkan kemarahan ialah cara kucing itu dihalau. Video yang tular di media sosial menunjukkan pegawai itu dengan kasar mencengkam bulu di belakang kucing itu, mengangkat dan mencampakkannya ke bawah meja.
Vini Jr. kelihatan terkejut dengan situasi tersebut dan melemparkan pandangan tidak senang ke arah pegawai itu yang duduk di sebelahnya.
Beberapa foto di media sosial kemudian menunjukkan kucing itu sedang berehat di atas lantai bilik media.
Kalangan pencinta kucing menyifatkan tindakan pegawai itu sebagai kekejaman terhadap haiwan, apatah lagi kerana si comel itu tidak mempamerkan aksi yang boleh mengganggu sidang media berkenaan.
Brazil isn’t winning the damn World Cup pic.twitter.com/EfQ59l8Xxy
— frqazhahßn (@FariqBAzaha) December 8, 2022
Video yang tular tersebut telah mendapat pelbagai reaksi dari netizen selain mendapat jumlah tontonan sebanyak 533.7k serta ribuan tanda like dari warganet.
Sumber: Astro Awani, Twitter
Warga Emas Tembak Kucing Hingga Mati Didakwa
Terdahulu, tindakan seorang warga emas menembak seekor kucing milik jirannya sehingga mati, membawa padah apabila dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka.
Tertuduh Aziz Tambi, 62, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus kertas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menembak seekor kucing dengan senapang angin sehingga menyebabkan kesakitan dan penderitaan yang tidak sepatutnya terhadap haiwan berkenaan.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Jalan Tanjung Minyak, Bukit Rambai di dalam Daerah Melaka tengah kira-kira pukul 2.30 petang, 18 Jun 2022 lalu.
Justeru, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda antara RM20,000 hingga RM100,000 atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazrin Ali Rahim mencadangkan jaminan sebanyak RM20,000 dengan mengambil kira kesalahan diilakukan adalah serius.
Hakim Darmafikri kemudian menetapkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan sebutan semula kes pada 11 Januari depan.
Sementara itu, tertuduh turut mengaku tidak bersalah atas satu lagi pertuduhan berasingan memiliki selaras senapang angin tanpa lesen yang sah di lokasi sama pada keesokan harinya, di hadapan Majistret Nabilah Nizam.
Pertuduhan itu dilakukan mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
Pada prosiding yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ehsan Nasarudin, tertuduh dibenarkan ikat jamin sebanyak RM2,500 serta menetapkan tarikh sebutan sama di Mahkamah Sesyen.
Tertuduh diwakili peguam Ishak Kari.
Sumber: Astro Awani