Seorang lelaki yang mengalami sakit mental ditahan setelah mengamuk serta mengacukan sebilah pisau pemotong daging ke arah polis di kawasan pangsapuri, Taman Lembah Maju, Pandan Indah, di sini, pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, pihaknya menerima aduan daripada orang awam berkenaan lelaki mengamuk dengan membawa sebilah pisau di kawasan kediaman tersebut sekitar pukul 10.51 pagi kelmarin.

“Bertindak atas maklumat yang diterima, pasukan Unit Kereta Peronda (MPV) bergegas ke lokasi kejadian dan menangkap suspek lelaki warga tempatan berusia 45 tahun itu.

“Susulan daripada tangkapan terbabit, kami turut merampas sebilah pisau pemotong daging berhulu kayu dengan lilitan tali rafia, panjang lebih kurang 30 sentimeter (cm),” jelasnya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Farouk, suspek bekerja sebagai tukang gunting rambut merupakan seorang pemegang kad sakit mental dan mempunyai rekod serta sedang menjalani rawatan di wad kuning psikiatri di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“Suspek telah dirujuk ke HKL sebaik sahaja tangkapan dibuat manakala, ujian saringan air kencing akan dijalankan selepas rawatan selesai.

“Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan serta Seksyen 186 Kanun Keseksaan,” ujarnya.

Sumber : Kosmo

 

ARTIKEL LAIN YANG BOLEH DIBACA

Inspektor Polis Cedera Kena Tetak Dengan Bekas Tentera

Seorang bekas tentera yang merupakan suspek kes penagihan dadah diberkas selepas menetak seorang pegawai polis sehingga cedera dalam serbuan di rumahnya di Kampung Batu Gajah di sini kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 malam itu, pegawai polis berpangkat Inspektor berusia 30 tahun menerima lima jahitan pada bahagian belakang tapak tangan kiri dan bahunya selepas dirawat di Hospital Tanah Merah di sini.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintendan Mohd. Haki Hasbullah berkata, sebelum kejadian, suspek yang berusia 40 tahun itu dipercayai telah menyerang empat anggota Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) ketika melakukan serbuan di rumahnya.

Menurutnya, lelaki itu bertindak menetak di bahagian bonet dan bahagian sisi pintu belakang sebuah van AADK dengan menggunakan dua bilah parang panjang kira-kira pukul 10.30 pagi pada hari yang sama.

“Ekoran daripada insiden itu, sepasukan pegawai dan anggota polis telah melakukan serbuan kira-kira 11 jam kemudian selepas menerima laporan daripada pihak AADK.

“Suspek dikatakan bertindak agresif sambil memegang dua bilah parang panjang semasa serbuan dijalankan. Selepas menetak pegawai polis, lelaki itu akhirnya berjaya ditahan.

“Suspek dipercayai berada di bawah pengaruh dadah jenis methamphetamine semasa ditahan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Haki berkata, semakan mendapati, suspek yang merupakan seorang duda telah dibuang kerja tiga tahun lalu selain mempunyai lima rekod lampau bersabit kes jenayah dan dadah.

Katanya, suspek ditahan reman selama empat hari bermula semalam untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 506, Seksyen 427 dan Seksyen 332 kanun sama.

Sumber : KMN

Share.

Leave A Reply