BEBERAPA pengunjung di sebuah taman tema di Taman Impian Jaya Ancol, Jakarta Utara, Indonesia mengharungi detik cemas apabila permainan ‘Tornado Ride’ yang dinaiki terhenti secara tiba-tiba pada Sabtu.
Kejadian itu dipercayai berpunca akibat kerosakan pada bahagian sistem sensor permainan tersebut yang sekali gus menyebabkan alat permainan itu terhenti ketika orang ramai sedang menaikinya.
Pejabat Perhubungan Awam Taman Impian Jaya Ancol, Ariyadi Eko Nugroho berkata, mesin permainan itu berhenti mengejut akibat kerosakan pada sistem sensor.
“Fungsi pada papan pemuka permainan itu mengalami sedikit kerosakan dan gagal berfungsi dengan tepat sehingga menyebabkan ia terhenti ketika membawa penumpang,” katanya.
Susulan kejadian tersebut, insiden itu mengundang rasa panik serta cemas dalam kalangan penumpang dan juga pengunjung lain yang turut berada di taman tema berkenaan.
Ruangan komen di Instagram dipenuhi dengan kecaman serta kerisauan warganet berhubung kerosakan tersebut.
“Kasihan penumpang yang tergantung di atas permainan itu, sepatutnya pihak pengurusan perlu segera baiki dan bawa turun penumpang bukan hanya membiarkan sahaja,” kata anwar_ariadi.
“Memang bahaya permainan seperti ini, sepatutnya sudah tidak boleh beroperasi dan kanak-kanak tidak digalakkan untuk menaikinya,” ujar Rizkiwidiaa.
“Situasi macam ini sangat menakutkan, sepatutnya mesti ada sistem yang boleh dikendalikan secara manual,” jelas tomiabp.
Tambah Ariyadi, sensor kenderaan pacuan adrenalin itu rosak dipercayai akibat terkena air hujan lebat yang melanda kawasan Dufan minggu lalu.
“Apabila sensor mengalami kerosakan, sistem keselamatan pada permainan itu akan terhidup secara automatik dan menyebabkan segala pergerakan terhenti walaupun ia sedang bergerak.
“Jadi, situasi itu sememangnya merupakan sebahagian daripada fungsi keselamatan pada ‘Tornado Ride’ tersebut bagi memastikan keselamatan penumpang,” katanya.
Insiden itu dipercayai berlaku selepas cuaca hujan lebat dan pengunjung dikejutkan dengan permainan tersebut yang gagal berfungsi secara tiba-tiba.
Sumber: Majoriti
Baca Juga: Gelongsor Di Taman Tema Tiba-Tiba Tercabut, 16 Kanak-Kanak Cedera Parah
Bagaikan mimpi ngeri buat 16 orang kanak-kanak selepas menjadi mangsa runtuhan gelongsor kolam renang di Taman Tema Air Kenjeran (Kenpark) Surabaya, Jawa Timur pada Sabtu yang lalu.
Memetik laporan Kompas.com, hasil siasatan mendapati terdapat 16 mangsa ketika kejadian itu berlaku dan kebanyakannya adalah kanak-kanak. Insiden tersebut bermula apabila pengunjung mula menggunakan slide air sebelum gelongsor itu secara tiba-tiba terjatuh ketika ramai pengunjung sedang berada di atas.
Susulan daripada itu, mangsa terjatuh dari gelongsor dengan ketinggian 10 meter dan telah dihantar ke dua hospital yang berbeza bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Kami mengesyaki punca keruntuhan sambungan gelongsor itu disebabkan oleh usianya yang telah lama.
Kesemua mangsa segera dirujuk ke Hospital Soewandhie dan Hospital Soetomo. Kini lokasi berkenaan ditutup serta-merta terutama kawasan taman air Kenpark bagi tujuan siasatan.
Sumber: KMN