YAN – Seorang anggota bomba mengalami kecederaan di bahagian tangan selepas diserang seekor beruang yang dilaporkan tersesat di kawasan sawah padi di Kampung Kabu, Sungai Limau di sini, pagi tadi.

Difahamkan, kehadiran beruang itu disedari ketika menghampiri kawasan rumah penduduk berhampiran sebelum masuk ke sawah.

Menerusi video tular di Facebook dan aplikasi WhatsApp, beruang yang mengalami kecederaan pada mulut itu telah dikejar orang ramai sebelum diuruskan pihak berkuasa.

Ketika ini, Kosmo! mendapati operasi menangkap beruang sedang dijalankan termasuk oleh pihak bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), polis dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Oleh itu, penduduk di sekitar Yan diingatkan supaya tidak mengambil tindakan sendiri untuk menangkap beruang matahari yang tersesat di Kampung Kabu Sepuluh, Selengkoh Tengah dekat Sungai Limau, Yan sejak pagi tadi.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kedah, Jamalul Nasir Ibrahim berkata, ini berikutan beruang terbabit yang bertindak agresif berkemungkinan dalam keadaan lapar dan terancam.

Beliau berkata, pihaknya juga yakin beruang matahari itu dipercayai tersesat dari habitat asalnya di Gunung Jerai. “Sebaik sahaja menerima aduan daripada orang awam, sekumpulan anggota Perhilitan diarahkan ke lokasi bagi operasi menangkap beruang itu.

“Kawasan sawah yang luas menyukarkan operasi menangkap beruang berkenaan. Beruang itu memang nampak seperti jinak tapi ia sangat merbahaya, orang kampung jangan ambil tindakan sendiri atau cuba kepung haiwan ini.

“Anggota dalam usaha mengesan beruang terbabit yang kini bersembunyi di dalam sawah padi dan anggota akan tembak menggunakan ubat pelali,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI, hari ini.

Jamalul Nasir memaklumkan, sekiranya operasi menembak ubat pelali gagal, pihaknya akan memasang perangkap bagi menangkap beruang matahari itu.

Katanya, operasi itu akan dilakukan dengan kerjasama anggota bomba dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) “Setakat ini kita belum mengenal pasti jantina beruang itu dan fokus utama kita sekarang untuk menangkapnya secepat mungkin bagi mengelak kejadian tidak dingini berlaku lagi,” ujarnya.

Sumber: Kosmo

 

Baca Juga: NGERI. Seorang Pemburu Maut Diserang Seekor Beruang.

RUSIA – Seorang pemburu berusia 62 tahun dilapor maut akibat diserang seekor beruang yang dicederakannya, lapor Daily Mail.

Berdasarkan gambar penemuan mayat yang diperolehi, mayat pemburu tersebut telah ditemui bersama dengan bangkai binatang yang berada 50m dari badannya di daerah Tulun, wilayah Irkutsk, Siberia.

Pemburu itu dipercayai telah menembak dan mencederakan beruang tersebut dari atas sebatang pokok.

Pemburu yang menyangka beruang coklat itu telah mati selepas terkena tembakan yang dilepaskannya, telah mengambil keputusan untuk turun daripada pokok tersebut.

Namun, perkara sebaliknya yang berlaku. Beruang itu dikatakan masih hidup lalu menyerang pemburu tersebut dengan menggunakan taring dan kukunya sehingga mati.

Serangan ganas tersebut telah menyebabkan tengkorak pemburu itu hancur.

Pemburu yang dilaporkan hilang susulan insiden itu telah berjaya ditemui selepas misi mencari dan menyelamat dilakukan oleh penduduk di sekitar wilayah Siberia.

“Ketika lelaki berusia 62 tahun itu turun dari pokok, beruang yang cedera parah akibat tembakannya telah menyerang dan membunuhnya,” lapor Interfax.

“Bangkai haiwan itu ditemui 50 meter dari tempat lelaki itu mati.”

Tengkorak pemburu itu dikatakan hancur dan dia didapati dipenuhi luka akibat cakaran serta taring beruang tersebut.

Pejabat wilayah Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri Rusia berkata, “beruang yang cedera parah itu telah menyebabkan kecederaan yang boleh membawa maut kepada pemburu itu”.

Serangan beruang bukanlah suatu perkara yang luar biasa di Rusia, terutamanya di taman negara.

Sumber: KMN

Share.

Leave A Reply