‘Viral’ Buaya Tolak Mangsa Ke Tebing Sungai | Seekor buaya di Sungai Mahakam, Kutai Kartanegara, Kalimantan Timur, dilaporkan membawa mayat seorang kanak-kanak lelaki yang lemas ke tebing sungai, pada Jumaat.
Kisah buaya itu mendapat perhatian ramai apabila tular di media sosial.
Muhammad Ziyad Wijaya, 4, dilaporkan hilang selama dua hari sebelum mayatnya ditemukan.
Pejabat Pencarian dan Bantuan Kalimantan Timur yang menerima laporan kehilangan Muhammad Ziyad menggerakkan pasukan untuk mencari mangsa, tetapi usaha itu tidak berjaya.
Pihak berkenaan kemudian dilaporkan tidak menolak kemungkinan Muhammad Ziyad sudah meninggal dunia akibat lemas.
Selepas dua hari diisytiharkan hilang, mayat Ziyad dilaporkan ditemukan seekor buaya.
Haiwan berkenaan dikatakan menarik mayat Ziyad dari tengah ke tebing sungai dengan menarik belakang mangsa menggunakan mulutnya sambil disaksikan secara langsung oleh keluarga mangsa.
Apabila keluarga mangsa menghampiri, buaya itu berenang semula ke dalam sungai.
Pihak keselamatan di lokasi adalah orang pertama yang menyaksikan kejadian itu dan pemeriksaan mendapati tiada bahagian badan mangsa yang koyak disebabkan buaya itu.
Katanya, haiwan terbabit membantu mencari mangsa dan mayat budak itu ditemukan di Perairan Muara Jawa, Kabupaten Kutai Timur, kira-kira 1.5 kilometer dari lokasi kejadian.
Mangsa kemudian dihantar ke bilik mayat untuk tindakan lanjut.
Sumber: Harian Metro
Artikel Lain
Buaya Lapan Kaki Masuk Rumah Cari Makanan
Buaya Lapan Kaki Masuk Rumah Cari Makanan | Di sebuah kampung Jaitai, Etawah, di Uttar Pradesh, India, seekor buaya masuk ke dalam rumah untuk mencari makanan hingga mengejutkan sebuah keluarga yang sedang tidur lena.
Kejadian itu berlaku sekitar pada jam 10:30 malam pada 29 Oktober baru-baru ini apabila keluarga berkenaan dikejutkan dengan bunyi kambing.
Lebih mengejutkan mereka adalah apabila mereka menjumpai buaya lebih kurang lapan kaki berhampiran dengan kambing tersebut.
Kemudian, keluarga itu terus bertindak pantas menghubungi pihak polis untuk mendapatkan bantuan.
Pihak polis menyarankan mereka untuk mengunci rumah bagi memudahkan proses untuk menangkap reptilia tersebut.
Disebabkan kejadian tersebut, keluarga mangsa sanggup berjaga sepanjang malam bagi memastikan buaya itu terkunci di dalam rumah.
Sementara itu, Jabatan Hidupan Liar tiba di tempat kejadian sekitar 6 pagi keesokannya dan terus memulakan operasi menyelamat.
Dr Ashish Tripathi, Jurucakap Jabatan Hidupan Liar menasihatkan polis supaya mengurung buaya tersebut di dalam rumah.
Menurut The Independent, pasukan penyelamat mengambil masa kira-kira 1 jam untuk menangkap buaya itu.
Singh menyatakan bahawa mereka tidak tahu bagaimana buaya itu boleh masuk ke dalam rumah. Apabila mereka mendengar bunyi kambing pada waktu malam, mereka sedar ada sesuatu yang tak kena dan menemui seekor buaya.
Imbas kembali semasa kejadian, ibu mangsa mula menjerit sejurus mereka menemui reptilia tersebut.
Anak perempuannya yang terkejut, lantas membuka pintu biliknya untuk memastikan keadaan yang sebenar, tetapi tiba-tiba buaya tersebut meluru masuk ke dalam biliknya.
Disebabkan jeritan, jiran-jiran mula berkumpul di sekeliling rumah. Malah, penduduk kampung turut berjaga bersama keluarga itu sehingga bantuan tiba pada awal pagi keesokan harinya.
Menurut Dr Tripathi, buaya tersebut bukanlah buaya dewasa tetapi hanya buaya remaja yang pergi keluar mencari makanan.
Doktor menyatakan bahawa mereka memeriksa buaya itu dan mendapati ia sepanjang lapan kaki manakala umurnya antara 1.5 hingga dua tahun.
Beliau bertambah lagi, penduduk kampung sangat takut tetapi mereka memutuskan untuk tidak menjalankan operasi menyelamat pada waktu malam kerana buaya ini sangat agresif.
Menurut Dr Tripathi, reptilia ini berasal dari air tawar berhampiran dan ia dilepaskan semula ke habitatnya.
Sumber: KMN