Wanita ‘Berinteraksi’ Dengan Nabi Bakal Dikenakan Kaunseling | Khalifah Media Networks – Wanita yang mendakwa berinteraksi dengan Nabi Muhammad SAW di sebuah hotel di Makkah akan dipanggil menjalani sesi kaunseling di pejabat agama negeri yang terlibat.

Wanita 'Berinteraksi' Dengan Nabi Bakal Dikenakan Kaunseling

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad berkata, perkara itu perlu bagi membetulkan pemahaman wanita berkenaan.

Menurutnya, jika mereka mengetahui lokasi wanita berkenaan, mereka akan meminta pejabat agama negeri terlibat memanggil wanita terbabit untuk sesi kaunseling.

Difahamkan dalam keadaan langit terbuka semua orang boleh bercakap. Jika dahulu, penulis kolum akhbar akan disemak oleh editor tetapi sekarang semua boleh jadi wartawan, jurugambar, penerbit dan tukang cetak, katanya.

Beliau menasihatkan masyarakat mempelajari ilmu agama dengan pihak yang bertauliah bagi mengelak kekeliruan dan terpesong akidah.

Baru-baru ini, tular video seorang wanita mendakwa telah berinteraksi dengan Nabi Muhammad SAW di sebuah hotel di Makkah.

Melalui rakaman secara langsung itu, wanita itu memberitahu, baginda mendoakan kebaikan buat rakyat Malaysia. Selain turut menyebut nama isteri nabi, Siti Khadijah dan anak baginda, Fatimah Az-Zahra.

Bagaimanapun, seorang waris kepada wanita berkenaan tampil membuat permohonan maaf dan menjelaskan wanita itu berada dalam keadaan kecelaruan.

Idris menjelaskan, kes itu dirujuk kepada pejabat agama negeri berkenaan untuk tindakan lanjut.

Masyarakat perlu ingat semua perkara di bawah menteri agama tetapi kuasa mendakwa tidak ada di bawah menteri agama dan tidak ada pada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Idris menjelaskan bahawa Jakim hanya boleh meminta pihak berkuasa agama negeri terlibat untuk bertindak.

Menurutnya, Insya-ALLAH mereka responsif untuk membetulkan pemahaman sedemikian. Sama seperti kes Perjalanan Mimpi Yang Terakhir di Selangor dan Raja Bomoh di Perak.

Sumber: Sinar Harian

Share.

Leave A Reply