Seorang Wanita Maut Digilis Lori Dan Anaknya Cedera, Motosikal Bergesel Dgn Lori | Seorang wanita maut digilis sebuah lori manakala anaknya cedera selepas motosikal dinaiki mereka bergesel dengan lori berkenaan di Kilometer 28 Jalan Temerloh-Bahau di sini hari ini.
Cedera Parah Di Kepala Dan Lengan
Mangsa, Maryaton Othman, 41, meninggal dunia di lokasi kejadian kerana kecederaan parah di kepala dan lengan.
Ketua Polis Daerah Bera, Suprintendan Zulkiflee Nazir berkata, kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari arah Triang ke bandar Bera.
“Apabila tiba di lokasi kejadian motosikal Honda Wave yang ditunggang mangsa bergesel dengan bahagian kiri lori itu menyebabkan mangsa terjatuh sebelum digilis tayar lori berkenaan.
“Akibat kemalangan itu mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala anaknya berusia empat tahun yang membonceng motosikal mengalami kecederaan,”katanya di sini hari ini.
Menurutnya mangsa yang maut dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh untuk bedah siasat dan mangsa yang cedera dirawat di Hospital Bera.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan giat dilakukan.
Ujarnya siasatan awal mendapati lokasi kejadian merupakan jalan lurus dan semasa kejadian cuaca baik dan permukaan jalan kering.
Sumber : Kosmo
ARTIKEL LAIN YANG BOLEH DIBACA
Seorang Penunggang Motosikal Meninggal Dunia Terperosok Bawah Kereta
Seorang Penunggang Motosikal Meninggal Dunia Terperosok Bawah Kereta | KUANTAN – Seorang penunggang motosikal maut selepas terperosok di bawah sebuah kereta dalam kemalangan melibatkan lima kenderaan berhampiran susur keluar Felda Chegar Perah, Lebuhraya Central Spine Road (CSR), Lipis pada awal pagi Isnin.
Mangsa Teperosok Bawah Kereta
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Menurutnya, pihak bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Lipis menerima laporan berhubung kemalangan itu jam 4.05 pagi.
“Lapan anggota termasuk pegawai bersama jentera ke lokasi untuk bantuan menyelamat.
“Sebaik tiba di lokasi mendapati kemalangan melibatkan empat kereta dan sebuah motosikal manakala mangsa terperosok di bawah salah sebuah kereta terlibat,” katanya.
Zulfadli berkata, pihak bomba terpaksa menggunakan khidmat lori tunda untuk mengalihkan kereta bagi mengeluarkan mayat mangsa.
“Mayat mangsa berjaya dikeluarkan sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” jelasnya.
Sumber : KMN
BACA JUGA :
Suami Dan Bayi 10 Bulan Maut, Isteri Terselamat Dalam Kemalangan Dengan Treler
Suami Dan Bayi 10 Bulan Maut, Isteri Terselamat Dalam Kemalangan Dengan Treler | KUANTAN: Dua beranak maut selepas kereta yang mereka naiki terbabit dalam kemalangan dengan sebuah treler di Kilometer 145 Jalan Kuantan-Johor Bahru, Rompin, awal pagi tadi.
Bapa Dan Anak 10 Bulan
Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Mohd Azahari Mukhtar, berkata dalam kejadian jam 1.15 pagi itu, mangsa yang maut adalah pemandu kereta PERODUA Myvi, Azirul Azeem Mazri, 30, dan anaknya, Muhammad Adhwa yang berusia 10 bulan.
“Siasatan awal mendapati, kereta dipandu Azirul Azeem bersama isteri dan anak lelakinya dalam perjalanan dari arah Johor Bahru ke Kuantan dipercayai memotong kenderaan lain dan memasuki lorong bertentangan sebelum bertembung dengan treler yang datang dari arah bertentangan.
Isteri Mangsa Terselamat
“Akibat kemalangan itu, Azirul Azeem disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala anaknya meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Rompin.
“Isteri mangsa, Farah Nasuha Johari, 30, tidak mengalami kecederaan, manakala pemandu treler berusia 30 tahun cedera ringan,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.
Beliau berkata, kes kemalangan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, lapan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rompin ke lokasi kejadian untuk bantuan menyelamat.
“Pasukan bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit, manakala mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Rompin,” katanya.
Sumber : KMN