Warga Emas Hilang Ketika Berjalan Pulang Ke Tempat Parkir Kereta | SLIM RIVER: Seorang lelaki warga emas menghadapi saat cemas selepas tersesat di dalam hutan lebih 12 jam sebelum ditemui selamat di Kampung Sungai Bil, dekat sini, kira-kira jam 9.30 pagi tadi.

Mangsa, Kot Chee Seng, 60, sebelum itu dilaporkan hilang dan tersesat kira-kira jam 9.15 malam tadi ketika dalam perjalanan ke tempat parkir kenderaan.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Muallim, Kapten (PA) Shahrizal Hussin, berkata selepas menerima maklumat, pasukan JPBD dikejarkan bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di tempat kejadian.

“Hasil maklumat daripada rakan mangsa, sebelum kejadian mereka bertiga memasuki kawasan hutan berhampiran kampung bagi melakukan tinjauan tanah.

“Mangsa yang tidak mampu meneruskan perjalanan disuruh berpatah balik ke tempat meletakkan kenderaan,” katanya ketika dihubungi.

Shahrizal berkata, selepas rakan mangsa pulang dari kawasan hutan dan sampai ke tempat parkir, mangsa didapati tidak berada di tempat berkenaan.

Katanya, sepasukan JPBD dikerahkan mencari mangsa semalam sebelum SAR disambung pagi ini.

“Pada pagi ini, operasi SAR terus dijalankan membabitkan 45 anggota JPBD di kawasan mangsa dilaporkan hilang.

“Mangsa, dari Ipoh, Perak, akhirnya ditemui selamat, kira-kira dua kilometer dari tempat dia dilaporkan hilang pada jam 9.30 pagi ini,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Share.

Leave A Reply