Wartawan Meninggal Dunia Dua Hari Selepas Ditembak | MEXICO CITY: Pengasas majalah Mexico, Alfredo Cardoso meninggal dunia semalam selepas ditembak sebanyak lima kali, kata gabenor negeri Guerrero, Evelny Salgado yang memaklumkan ia adalah kes pembunuhan kedua membabitkan wartawan di negara itu dalam tempoh seminggu.
Cardoso diculik pada minggu lalu oleh lelaki yang memecah masuk rumahnya dengan mengenakan pakaian menutup kepala, kata pemerhati hak asasi manusia, Reporters Without Borders (RSF).
Menurut laporan media, dia ditemui keesokan harinya dengan kesan tembakan dalam kenderaan miliknya dan segera dibawa ke hospital.
“Saya ingin mengucapkan takziah kepada keluarga Alfredo Cardoso Echeverria, wartawan yang juga pengasas media digital Las Dos Costas di atas kehilangan ini,” kata Salgado menerusi perkongsian di media sosial.
Beliau turut mengecam pembunuhan Cardoso dan sudah mengarahkan sekretariat kerajaan negeri untuk menjaga kebajikan keluarga mangsa menerusi inisiatif tempatan yang diwujudkan bagi melindungi pembela hak asasi manusia dan wartawan.
Kematian Cardoso berlaku selang sehari selepas pembunuhan wartawan veteran, Fredy Lopez Arevalo di negeri selatan Chiapas.
Menurut laporan media, sekurang-kurangnya sembilan wartawan dibunuh di Mexico tahun ini, ia sekali gus meningkat berbanding lapan kes pada tahun lalu.
Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada semua pembunuhan itu berkaitan dengan tugas mereka sebagai wartawan.
Untuk rekod, sejak tahun 2000, lebih 100 wartawan dibunuh di negara itu dengan hanya sebahagian kecil daripada jenayah itu disabitkan di mahkamah. – AFP
Sumber: Berita Harian