Balas Dendam! Gajah Pijak Mati Pemburu Haram Sehingga Hancur | Seorang pemburu haram menerima balasan selepas dia dilaporkan maut akibat dipijak seekor gajah sehingga hancur ketika melakukan pemburuan haram di Taman Negara Kruger, Afrika Selatan.
Menurut laporan AFP menerusi Harian Metro, cebisan jasad manusia telah dijumpai baru-baru ini ketika operasi perisikan mencegah pemburu haram dilakukan pihak berkuasa.
Jurucakap Taman Negara Kruger, Isaac Phaahla berkata, seekor gajah memijak seorang pemburu hingga maut sementara yang lain melarikan diri.
Siasatan awal telah dilakukan dan mendapati mangsa telah dibunuh oleh gajah dan ditinggalkan oleh rakan pemburu yang lain kemungkinan ketika itu mereka dikejar haiwan tersebut ketika melakukan pemburuan haram.
Walaubagaimanapun, gajah tersebut dilaporkan tidak merosakkan telefon bimbit yang dipercayai milik pemburu itu dan ia telah ditemui penjaga hutan sebelum diserahkan kepada polis untuk membantu mengesan rakan pemburu yang lain.
Sebelumnya, pada tahun lalu dikatakan kawanan singa telah membunuh seorang lelaki yang melakukan pemburuan haram di Kruger.
Setelah menyedari ‘kehilangan’ lelaki terbabit, rakan mangsa dilaporkan telah menghubungi talian kecemasan darurat untuk melaporkan mengenai kehilangan mangsa.
Difahamkan bahawa kawanan singa tersebut telah berjaya ‘membaham’ badan pemburu terbabit dan hanya meninggalkan kepala lelaki itu yang ditemui tiga hari kemudian, kata Phaahla.
Kruger merupakan sebuah kawasan yang sering menjadi ‘tarikan’ pemburu haram untuk memburu terutamanya bagi spesis badak.
Taman negara terbabit melaporkan populasi badak kini telah turun kepada 70 peratus selama satu dekad iaitu di bawah 4,000 ekor sahaja.
Berikutan itu, sejak dua tahun lalu, Taman Negara Kruger berjaya mengekang masalah pemburu haram hasil teknologi baru dan peningkatan penguatkuasaan yang membantu menangkap pemburu sebelum mereka membunuh haiwan di taman negara itu.
Sumber: Harian Metro