Inilah 7 GANGGUAN Ketika Solat.

| July 4, 2018 | 0 Comments

Inilah 7 GANGGUAN Ketika Solat.| KHALIFAH MEDIA NETWORKS – Solat adalah tanda pengabdian diri kita sebagai seorang hamba kepada Allah Rabbul Jalil; Tuhan sekalian alam.

Tunduk, rukuk dan sujud kita menyembah kepada-Nya semata-mata mengharapkan keredhaan dari-Nya.

Sungguhpun begitu, ada juga ‘makhluk-Nya’ yang kurang senang dengan tindakan tersebut lantas mengambil peluang untuk ‘mencucuk’ dan menganggu mana-mana tempat di dalam solat agar ibadah yang kita laksanakan itu tidak sempurna dan tidak khusyuk.

Ini kerana ‘dia’ telah bersumpah untuk menyesatkan kaum Adam sepertimana firman Allah S.W.T yang bermaksud;

“Kerana Engkau telah menghukumku tersesat, maka aku benar-benar akan (menghalangi) mereka dari jalan yang lurus. Kemudian, aku akan mendatangi mereka dari muka dan belakang mereka, dari kanan dan kiri mereka. Dan, Engkau tidak akan mendapati kebanyakan dari mereka bersyukur (taat).”
Surah al A’raf : 16-17

‘Dia’ itulah iblis dan syaitan laknatullah yang bersumpah untuk menyesatkan kaum Adam sehingga hari kiamat.

Berikut adalah antara ‘cucukan’ atau gangguan yang dilakukan oleh iblis ketika solat, antaranya;

#1 – Melambatkan Waktu Solat

Iblis serta syaitan akan berusaha untuk menghasut dan membisikkan ke telinga anak Adam agar melambat-lambatkan waktu solat sekalipun azan sudah lama dikumandangkan.

Tidak hairanlah jika kita pernah berasa berat untuk melaksanakan ibadah ini sehinggalah ditunaikan pada saat-saat akhir. Mungkin ketika itu, kita sudah ‘termakan’ dengan bisikan mereka.

#2 – Berasa Was-Was Ketika Berwuduk

Diriwayatkan oleh Tirmizi, Ibnu Majah dan Al-Hakim dari Ubay bin Ka’ab bahawa Rasulullah S.A.W bersabda;

“Sesungguhnya di dalam wuduk ada syaitan yang dikenali dengan nama ‘al-Walhan’. Oleh itu. berhati-hatilah kalian dengannya.”
Hadis Riwayat Ibnu Majah dan al-Hakim

#3 – Berasa Mengantuk Dan Menguap

Tidak dinafikan perasaan ini biasa hadir tatkala seseorang itu hendak mendirikan ibadah solat.

Apabila ia menguasai diri, secara tidak langsung badan akan berasa lemah, tidak bermaya dan tidak bertenaga. Lantas, menganggu khusyuk kita untuk meneruskan solat tersebut. Sabda Nabi S.A.W yang bermaksud;

“Adapun menguap itu datangnya dari syaitan, maka hendaklah ia mencegahnya selagi boleh.”
Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim

#4 – Terlupa Rakaat Dan Bacaan Solat

Suatu hari, Uthman bin Abil ‘Ash datang kepada Baginda Rasulullah S.A.W lalu mengadu;

“Wahai Rasulullah, sesungguhnya syaitan telah datang ke dalam solatku sehingga membuatkan bacaanku salah.’Lalu, Rasulullah S.A.W pun menjawab; ‘Itulah syaitan yang disebut dengan Khinzib. Apabila kamu merasakan kehadirannya, maka ludahlah ke kiri tiga kali dan berlindunglah kepada Allah S.W.T. Aku pun melakukan hal itu dan Allah S.W.T menghilangkan gangguan itu dariku.”
Hadis Riwayat Muslim

Adapun, bagi menyempurnakan solat tersebut disebabkan keterlupaan dan kelalaian, kita diajar untuk melaksanakan sujud sahwi sebelum memberi salam bagi mengakhiri solat.

#5 – Tergesa-Gesa

Sikap tergesa-gesa adalah salah satu sikap syaitan. Di dalam solat, kita hendaklah melaksanakannya dalam keadaan yang tenang.

Jika ibadah dilaksanakan dengan sambil lewa, terkejar-kejar, dibimbangi ia akan menyebabkan solat yang didirikan itu menjadi tidak sah. Maka, sia-sia sajalah rukuk dan sujud itu.

Rasulullah S.A.W memberi panduan solat seperti sabdanya yang bermaksud;

“Apabila kamu solat, maka bertakbirlah lalu bacalah dari Al-Quran yang mudah bagimu. Lalu, rukuk sehingga kamu benar-benar rukuk, lalu bangkitlah dari rukuk sehingga kamu berdiri tegak. Kemudian, sujudlah sehingga kamu benar-benar sujud. Lakukanlah hal itu dalam setiap rakaat solatmu.”
Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim

#6 – Melakukan Banyak Pergerakan

Sekejap toleh ke kiri, sekejap toleh ke kanan. Menjenguk-jenguk imam di hadapan sudah duduk tahiyat atau belum.

Bahkan, ada yang lebih nakal mengusik pula rakan di sebelah yang sedang khusyuk mendirikan solat.

Banyaknya pergerakan yang dilakukan bukanlah pergerakan untuk bersolat tetapi ianya adalah salah satu bentuk gangguan dari syaitan.

Hal seperti ini pernah ditanyakan oleh Aisyah R.A kepada Rasulullah;

“Wahai Rasulullah, apakah hukum melihat-lihat ketika di dalam solat?” Lalu, Baginda menjawab, “Itu adalah curian syaitan ke atas solat seorang hamba.”
Hadis Riwayat Bukhari

#7 – Tidak Sempurna Takbiratul Ihram

Ada juga dalam kalangan kita sering lupa dengan bacaan niat yang betul ketika hendak mendirikan solat. Solat Maghrib tetapi diniatkan solat Asar, niat solat Zohor dibaca pula untuk solat Isyak.

Itu antara contohnya sehinggakan Takbiratul Ihram yang menjadi rukun utama dalam solat juga tidak dapat dilaksanakan dengan sempurna.

Ini juga merupakan gangguan dari syaitan yang ingin memesongkan hati kita daripada mendapatkan khusyuk dalam solat.

Begitulah antara bentuk-bentuk gangguan yang sering dihadapi oleh sebahagian daripada kita ketika melaksanakan ibadah solat, tidak kira solat fardhu mahupun sunat.

Justeru itu, bagi mengatasi hal ini kita disarankan agar lebih berhati-hati dan berusaha sedaya upaya untuk melawan bisikan tersebut.

Mudah-mudahan, ibadah yang dilaksanakan itu bukan saja bagi memenuhi kewajipan kita sebagai seorang Muslim, akan tetapi membantu kita untuk menjadi individu Muslim yang berjiwa rabbani. Sepertimana firman-Nya yang bermaksud;

“Sesungguhnya, solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah.”

Moga bermanfaat. Wallahua’lam.

PALING POPULAR BULAN INI .. JOM BACA !!

Tags: , , , , ,

Category: AGAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *