Inilah Hukum Wanita Memakai Pakaian Moden. Wanita WAJIB Tahu.

| June 6, 2018 | 0 Comments

Inilah Hukum Wanita Memakai Pakaian Moden. Wanita WAJIB Tahu.| KHALIFAH MEDIA NETWORKS – Lebih kurang seminggu sahaja lagi umat Islam akan meraikan hari kemenangan atau hari raya Aidilfitri setelah berpuasa selama sebulan. Rata-rata, sedang melakukan persiapan untuk menyambut hari raya tetapi kita sebagai umat Islam perlu ingat, jangan lupa amal ibadah yang berganda besar pahalanya dalam bulan Ramadan ini.

 

 

Jangan disebabkan kerana kegembiraan melakukan persiapan hari raya sehingga kita lupakan solat taraweh dan solat malam. Bulan Ramadan ini ada satu malam yang sangat istimewa dan mulia iaitu malam Lailatul Qadar. Jadi marilah kita berlumba-lumba melakukan amal ibadah agar kita dapat malam yang istimewa itu.

Berbalik kepada isu persiapan raya tadi, sudah pasti antara kita sudah menempah atau membeli pakaian hari raya. Ada yang sampai 10 pasang baju raya sahaja. Ingat, berbelanjalah dengan cermat dalam menyambut hari raya ini.

Pada hari raya nanti, sudah pasti kita dapat lihat bermacam-macam jenis fesyen, gaya, dan rekaan baju raya yang sudah pasti ada yang sejuk mata memandang dan ada yang buat mata kita terseksa untuk memandang. Orang kata ikut trend dan rekaan terkini. Janganlah pakai pakaian yang mengarut-mengarut ok.

Di dalam isu ini, timbul persoalan apakah hukum dan pendapat ulama tentang dalam berpakaian mengikut trend zaman sekarang.

Baca penjelasan di bawah semoga kita dapat jadikan pengajaran dan panduan buat diri kita.

SOALAN :

assalamualaikum..saya nak tanya..apakah pendapat ulama tentang hukum berpakaian mengikut trend zaman sekarang.

JAWAPAN :

Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh. Teima kasih kepada yang bertanya.

Memakai pakaian hendaklah mengikut peraturan yang telah ditetapkan oleh syarak walau dengan fesyen terkini sekalipun. Antara perkara yang perlu dirai dalam pemakaian dalam islam adalah :

1. MENUTUP AURAT

Aurat perempuan adalah seluruh badan melainkan muka dan dua kawasan telapak tangan. Al-Qadhi `Iyadh dalam al-Ikmal menukilkan ijmak atas keharusan seorang wanita keluar dalam keadaan terbuka wajahnya manakala wajib ke atas lelaki menundukkan pandangannya. Antara ulama selain Al-Qadhi `Iyadh yang menukilkan ijma` ini adalah sebagaimana berikut :

1. Ibn Hajar al-Haitami di dalam kitabnya Hasyiah `Ala Eidhahi al-Manasik, karangan Imam Nawawi.
2. Imam al-Mujtahid Ibnu Jarir at-Thabari
3. Imam al-Haramain Abd Malik al-Juwayni
4. Imam Abu Bakar Al-Qaffal as-Syasyi
5. Al-Imam Fakruddin ar-Razi

Manakala aurat bagi lelaki adalah antara pusat dengan lutut.

2. Mengelakkan daripada menutup sebahagian aurat dan membuka sebahagian yang lain.

Aurat hendaklah ditutup keseluruhannya tidak boleh menutup sebahagiannya manakala sebahagian yang lain pula didedahkan. Bahkan haram melakukan perkara tersebut.

Sabda Rasulullah ﷺ :

صِنْفَانِ مِنْ أَهْلِ النَّارِ لَمْ أَرَهُمَا : قَوْمٌ مَعَهُمْ سِيَاطٌ كَأَذْنَابِ الْبَقَرِ يَضْرِبُونَ بِهَا النَّاسَ ، وَنِسَاءٌ كَاسِيَاتٌ عَارِيَاتٌ ، مُمِيلاَتٌ مَائِلاَتٌ ، رُءُوسُهُنَّ كَأَسْنِمَةِ الْبُخْتِ الْمَائِلَةِ ، لاَ يَدْخُلْنَ الْجَنَّةَ وَلاَ يَجِدْنَ رِيحَهَا ، وَإِنَّ رِيحَهَا لَيُوجَدُ مِنْ مَسِيرَةِ كَذَا وَكَذَا

Maksudnya: “Dua kategori penghuni neraka yang belum pernah aku melihatnya lagi iaitu satu kaum yang memegang cemeti (pemukul) seperti ekor lembu dan wanita-wanita yang berpakaian tetapi bertelanjang (mereka memakai pakaian tetapi tidak menutup keseluruhan aurat), mereka cenderung untuk tidak mentaati Allah taala dan mempengaruhi orang lain daripada mentaati Allah, dengan kata lain mereka mengajak-ajak lelaki melakukan zina), mempunyai sanggul seperti bonggol unta (supaya orang kagum kepada mereka). Mereka tidak akan masuk syurga dan tidak akan menghidu baunya walaupun bau syurga itu mampu untuk dihidu sejauh perjalanan tertentu” (HR Muslim). Hadis Syarah Sahih Muslim no 5098.

Hadis ini bukan hanya menceritakan wanita yang tidak lengkap dalam menutup aurat tetapi mereka memiliki sifat tambahan iaitu menyeru lelaki untuk melakukan zina.

3. Tidak mengenakan pakaian yang nipis sehingga menampakkan warna kulit.

Menurut al- Hafiz al-Murtadha al-Zabidi dalam kitabnya Ithaf Sadah al-Muttaqin, jilid 3 /134 :

“Aurat seorang wanita merdeka adalah seluruh badan melainkan wajah dan dua pergelangan tangan iaitu bermula daripada kepala jari jemari sampai ke pergelangan tangan”. Katanya lagi :

“ Syarat menutup aurat adalah memakai sesuatu yang menghalang daripada dapat dilihat warna kulit bukan daripada yang menghilangkan bentuk badannya (kerana sebahagaian manusia khususnya yang gemuk sukar untuk tidak menampakkan sedikitpun daripada bentuk badannya). Maka tidak memadai pakaian nipis, koyak kerana ia tidak menghalang untuk dilihat warna kulit melalui celah-celahannya. Begitu juga tidak memadai seseorang memakai kaca yang menampakkan warna kulit kerana tujuan menutup aurat tidak akan berlaku dengannya. Adapun jika menampakkan bentuk tubuh sahaja maka ia tidak memudharatkan tetapi bagi wanita hukumnya makruh memakai pakaian tersebut, manakala bagi lelaki hukumnya khilaf al-aula. Pendapat ini juga adalah pendapat al-Mawardi dan selainnya”.

4. Tidak terlalu ketat sehingga menampakkan bentuk badan.

Ulama menghukumkan pakaian yang ketat sebagai makhruh kepada wanita manakala bagi lelaki adalah khilaf al-Aula (tidak diutamakan).

Syaikh al-Islam Zakaria al-Ansari dalam kitabnya Asna al-Mathalib, jilid 1/176 menyebutkan:

لا يَكْفِي سُتْرَةٌ تَحْكِي اللَّوْنَ أَيْ لَوْنَ الْبَشَرَةِ أَيْ تَصِفُهُ بِمَعْنَى يَصِفُهُ النَّاظِرُ من وَرَائِهَا كَمُهَلْهَلٍ لَا يَمْنَعُ إدْرَاكَ اللَّوْنِ لِأَنَّ مَقْصُودَ السَّتْرِ لَا يَحْصُلُ بِذَلِكَ وَلَا يَضُرُّ هَا بَعْدَ سَتْرِهَا اللَّوْنَ أَنْ تَحْكِيَ الْحَجْمَ لَكِنَّهُ لِلْمَرْأَةِ مَكْرُوهٌ وَلِلرَّجُلِ خِلَافُ الْأَوْلَى قَالَهُ الْمَاوَرْدِيُّ وَغَيْرُهُ

“ Tidak memadai bagi menutup aurat pakaian yang menampakkan warna kulit iaitu orang yang dapat melihat warna disebalik pakaian tersebut seperti pakaian koyak yang tidak menghalang daripada dilihat warna kulit kerana tujuan sebenar menutup aurat tidak akan berlaku tanpa menutup perkara tersebut. Tidak memudaratkan (tidak mengapa) setelah pakaian tersebut menutup warna kulit jika menampakkan bentuk badan sekalipun tetapi makruh hukumnya bagi wanita dan khilaf al-Aula bagi lelaki. Perkara ini disebut oleh imam al-Mawardi dan selainnya”

Perkara ini juga ditegaskan oleh al-Ruyani dalam kitabnya al-Bahr al-Mazhab halaman 122, Syamsuddin al-Ramli dalam Nihayah al-Muhtaj, jilid 2 halaman 6, ibn Hajar al-Haitami dalam Minhaj al-Qawim jilid 1 halaman 186, al-Dimyathi dalam Hasyiah i^anah al-Thalibin, jilid 1 halaman 113, Syiekh Muhammad al-^illaysh al-Maliki dalam Minah al-jalil Syarah Mukhtasar Khalil, jilid 1 halaman 226, al-Baaji al-Maliki dalam Muntaqa Syarah al-Muattha`, jilid 1 halaman 251, Syeikh al-Buhuti al-Hanbali dalam Kassyaf al-Qina’ jilid 1 halaman 276, Syeikh Abdul al-Qadir al-Rafie dalam al-Tahrir al-Mukhtar li Rad al-Mukhtar, jilid 2 halaman 307, ^ala al-Addin al-Mawardi al-Hanbali dalam kitabnya al-Insaf , jilid 1 halaman 449,ibn Hibban dalam kitabnya al-Ihsan, jilid 3 halaman 317 dan banyak lagi.

5. Tidak berhias dan tidak menggunakan wangi-wangian dengan tujuan menarik perhatian lelaki.

Ibnu Hibban, al-Hakim, an-Nasa’i, al-Baihaqi, meriwayatkan dalam bab kemakruhan kaum perempuan untuk memakai minyak wangi, juga diriwayatkan oleh Abu Dawud daripada Abi Musa al-‘Asy’ari secara marfu’ kepada Rasulullah, bahawa baginda bersabda:

أيما امرأة استعطرت فمرت على قوم ليجدوا ريحها فهي زانية

Maksudnya: “Perempuan manapun memakai wangi-wangian kemudian melalui kaum lelaki agar mereka mendapati baunya maka dia adalah seorang pelaku zina”.

Al-Tirmizi menyebut dalam bab kemakruhan perempuan keluar dengan memakai wangi wangian, daripada hadith Abi Musa al-‘Asy’ari secara marfu’ kepada Rasulullah, bahawa baginda ﷺ bersabda:

كُلُّ عَيْنٍ زَانِيَةٌ ، وَالْمَرْأَةُ إِذَا اسْتَعْطَرَتْ فَمَرَّتْ بِالْمَجْلِسِ فَهِيَ كَذَا وَكَذَا – يَعْنِي زَانِيَةً

“Setiap [kebanyakan] mata melakukan zina. Jika wanita memakai wangi-wangian kemudian melalui suatu majlis maka dia adalah begini dan begitu,ertinya dia adalah seorang pelaku zina”. Haram hukumnya apabila dia bertujuan mempamerkan dirinya kepada lelaki.

6. Tudung hendaklah melepasi paras dada.

Sebaiknya tudung wanita dilabuhkan sehingga melepasi paras dada kerana wanita khususnya digalakkan untuk melebihkan dalam menuntut aurat.

Justeru, mana-mana pakaian yang memenuhi ciri-ciri ini sama ada trend terkini atau tren yang lama maka ia dibenarkan.

والله أعلم وأحكم

Akhukum fillah,

S.S Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan

PALING POPULAR BULAN INI .. JOM BACA !!

Tags: , , , ,

Category: AGAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *