4 Keluarga Tinggal Sehelai Sepinggang, 2 Rumah Terbakar | PENAMPANG – Empat keluarga tinggal sehelai sepinggang selepas dua rumah didiami musnah terbakar dalam kejadian di Kampung Baru, Jalan Bundusan, 9 malam tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 9.33 malam dan sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang, Lintas serta Kota Kinabalu bersama enam jentera digerakkan ke tempat kejadian.

“Kebakaran membabitkan dua rumah jenis tidak kekal terbakar sepenuhnya dan didapati seorang mangsa wanita cedera ringan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, operasi dilaporkan terkawal pada pukul 10.32 malam dan operasi pemadaman masih lagi dijalankan manakala kerugian dan punca kebakaran masih dalam siasatan.

Sementara itu, salah seorang mangsa, Ariffin Reduaan Rudi, 21, berkata, kejadian itu menyebabkan rumah yang dihuni bersama abang, sepupunya dan bapa saudaranya musnah terbakar.

“Sewaktu kejadian saya sedang bekerja dan hanya mengetahui kejadian itu selepas dihubungi keluarga. Rumah dua tingkat itu didiami saya bersama abang dan sepupu serta bapa saudara masing-masing bersama keluarga.

“Semuanya musnah terbakar. Hanya tinggal baju dan seluar kerja yang sedang saya pakai,” katanya sebak.

Sumber: Kosmo

 

Baca Juga: Rumah Musnah Terbakar Ketika Sambut Raya Cina

Kegembiraan dua keluarga merayakan sambutan Tahun Baru Cina bertukar kesedihan selepas rumah berkembar dua tingkat yang didiami mereka di Jalan Yun Chai Lok musnah dalam kebakaran yang berlaku awal pagi tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Negeri Sarawak dalam kenyataannya hari ini berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah dan dibantu BBP Sibu Sentral bergerak ke lokasi kejadian selepas menerima makluman berhubung kebakaran pada jam 8.18 pagi

Menurutnya, sampai di lokasi kejadian, pasukan bomba mendapati api sedang marak memusnahkan rumah yang pertama dan sudah merebak ke rumah yang kedua.

Katanya, selepas bertungkus-lumus memadam kebakaran, api berjaya dikawal dalam masa satu jam setengah iaitu pada jam 9.36 pagi yang kemudiannya diteruskan dengan proses penyejukan bagi mengelakkan berlakunya kebakaran berulang.

“Operasi memadam kebakaran ini agak sukar kerana salah sebuah rumah dipenuhi dengan lapisan beg plastik di bahagian garaj kediaman yang menyukarkan api dipadam pada bagaimanapun bawah,” ujarnya.

Selepas menjalankan kerja-kerja ‘overhaul’, maka operasi memadam kebakaran ditamatkan pada jam 3.56 petang.

Turut musnah dalam kebakaran ialah kereta yang diletakkan pada tempat parkir kenderaan.

Namun, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa kerana kesemua penghuninya berjaya lari menyelamatkan diri.

Punca kebakaran masih dalam siasatan.

Sumber : Harian Metro

Share.

Leave A Reply