Inilah Orang Yg Boleh Berbuka Puasa Dan Makan Secara Terbuka Di Siang Hari Ramadan.| KHALIFAH MEDIA NETWORKS – Di antara isu yang menjadi perbualan hangat di laman sosial ketika ini adalah berkenaan boleh ataupun tidak seseorang yang tidak boleh berpuasa disebabkan keuzuran makan secara terbuka di siang hari bulan Ramadhan ?

Mereka itu termasuklah wanita yang berada dalam keadaan haid, seseorang yang bermusafir, golongan tua yang tidak mampu berpuasa, dan juga orang yang sakit. Justeru, Irsyad al-Fatwa edisi khas Ramadhan kali ini akan membahaskan isu ini secara terperinci.

 

Siapakah Golongan Yang Diberi Keuzuran Untuk Tidak Berpuasa ?

Berikut kami kongsikan beberapa golongan yang diberikan keizinan oleh syarak untuk tidak berpuasa disebabkan keuzuran. Antaranya:


Pertama: Wanita Yang Dalam Keadaan Haid & Nifas

Para ulama telah bersepakat bahawa wanita yang dalam keadaan haid diharamkan baginya untuk berpuasa. Sekiranya dia tetap berpuasa maka puasanya adalah tidak sah. Sama ada puasa tersebut merupakan puasa wajib, sunat, kaffarah, ataupun nazar. Wajib ke atas mereka untuk menggantikan puasa ini apabila mereka suci dari haid. Ini berdasarkan sabda Nabi S.A.W:

أَلَيْسَ إِذَا حَاضَتْ لَمْ تُصَلِّ وَلَمْ تَصُمْ

Maksudnya: Tidakkah seorang wanita itu apabila dia datang haid dia tidak boleh solat dan tidak boleh berpuasa ?

Riwayat al-Bukhari (1951)

 

Kedua: Orang Yang Dalam Keadaan Sakit

Orang yang sakit diberikan keringanan untuk berbuka puasa (tidak berpuasa). Apabila dia sihat semula maka wajib ke atasnya untuk menggantikan puasanya yang ditinggalkan tersebut. Ini berdasarkan firman Allah S.W.T:

أَيَّامٗا مَّعۡدُودَٰتٖۚ فَمَن كَانَ مِنكُم مَّرِيضًا أَوۡ عَلَىٰ سَفَرٖ فَعِدَّةٞ مِّنۡ أَيَّامٍ أُخَرَ

Maksudnya: (Puasa) itu adalah bilangan hari-hari yang tertentu. Siapa dari kalangan kalian yang sakit ataupun dalam keadaan bermusafir maka gantikanlah ia (puasa) pada hari yang lain.

Surah al-Baqarah (184)

Walaupun begitu, ada dhabit (piawaian) bagi kategori sakit yang dibenarkan berbuka dari ayat ini. Antaranya ialah:

  • Sakit tersebut adalah sakit yang teruk (berat) yang mana apabila orang tersebut berpuasa ia akan menambahkan lagi kesakitan ataupun melewatkan kesembuhan yang terdapat pada dirinya.

 

  • Apabila seseorang yang sakit itu berpuasa ia datang bersamanya masyaqqah (kepayahan) ke atas dirinya.

 


Ketiga: Orang Yang Sedang Bermusafir

Orang yang sedang dalam permusafiran diberikan rukhsah (keringanan) untuk berbuka (tidak berpuasa). Ini adalah berdasarkan firman Allah S.W.T:

أَيَّامٗا مَّعۡدُودَٰتٖۚ فَمَن كَانَ مِنكُم مَّرِيضًا أَوۡ عَلَىٰ سَفَرٖ فَعِدَّةٞ مِّنۡ أَيَّامٍ أُخَرَ

Maksudnya: (Puasa) itu adalah bilangan hari-hari yang tertentu. Siapa dari kalangan kalian yang sakit ataupun dalam keadaan bermusafir maka gantikanlah ia (puasa) pada hari yang lain.

Surah al-Baqarah (184)

Berdasarkan ayat ini, orang yang sedang bermusafir juga diberikan keringanan untuk tidak berpuasa. Apabila dia berbuka, menjadi suatu kewajipan ke atas dirinya untuk menggantikannya (qadha’) pada hari yang lain. Akan tetapi permusafiran ini juga mempunyai beberapa kriteria untuk menjadikan ia suatu yang mengharuskan berbuka puasa. Antaranya adalah seperti berikut:

  • Permusafiran tersebut merupakan perjalanan panjang yang terdapat masyaqqah (kepayahan) kepada musafir yang berpuasa untuk meneruskan puasanya.

 

  • Jika orang yang bermusafir itu meneruskan puasa semasa bermusafir, akan tetapi puasanya tidak memberi kemudharatan atau kepayahan kepada dirinya, maka adalah lebih afdhal untuk dia teruskan puasa.

 

Bolehkah Golongan Yang Disebutkan Di Atas Untuk Makan & Minum Secara Terbuka Di Siang Hari Ramadhan ?

Inilah isu utama yang menjadi tumpuan kami untuk diulas. Kerana ia menjadi isu yang agak hangat dibincangkan. Sebelum kami mengulas lebih lanjut, suka untuk dikongsikan bersama beberapa kisah yang boleh dijadikan pengajaran.

KISAH PERTAMA

Pertama: Rasulullah S.A.W bersabda:

أَنَا سَيِّدُ وَلَدِ آدَمَ وَلاَ فَخْر

Maksudnya: Aku adalah ketua (penghulu) bagi seluruh anak Adam dan itu bukan satu kebanggaan.

Riwayat Abu Daud (4308)

Ketika mengulas hadis ini, Sulthan al-Ulama al-Izz Ibn Abd al-Salam (w. 660 h.) berkata: Nabi S.A.W menyebut bahawa hal tersebut bukanlah suatu kebanggaan adalah untuk mencantas sangkaan golongan yang bersangka buruk terutamanya apabila baginda menceritakan berkenaan dirinya.

Sekalipun perbuatan menceritakan kelebihan yang ada pada diri sendiri itu bukanlah satu kesalahan, akan tetapi baginda tetap menyebutkan bahawa itu bukanlah suatu kebanggaan bagi mengelakkan fitnah berlaku ke atas diri baginda S.A.W.

 

KISAH KEDUA

Kedua: Di dalam sebuah hadis yang sahih, Rasulullah S.A.W dilihat sedang berdua-duan dengan seorang perempuan. Lalu dua orang lelaki dari kalangan Ansar melalui kawasan tersebut. Sebaik sahaja mereka melihat Nabi, keduanya terus berjalan secara laju. Maka sabda Nabi S.A.W:

 

عَلَى رِسْلِكُمَا إِنَّهَا صَفِيَّة بِنْت حُيَي فَقَالَا‏:‏ سُبْحَانَ اللَّه يَا رَسُولَ اللَّهِ‏!‏ ‏:‏‏”‏إِنّ الشَّيطَانَ يجَرِي مِن ابنِ آَدَمَ مَجْرَى الدَّم وَإِنِّي خَشِيْت أن يَقْذِفَ فِي قُلُوبِكُمَا شَرَّا

Maksudnya: Nanti dahulu wahai kamu berdua, sesungguhnya wanita ini adalah isteri aku Safiyyah binti Huyaiy. Lalu keduanya berkata: Maha Suci Allah wahai Rasulullah. Maka sabda Nabi S.A.W: Sesungguhnya Syaitan itu mengalir dalam tubuh badan manusia mengikut saluran darah dan aku takut dia mencampakkan keburukan dalam hati kamu berdua.

Riwayat Muslim (2175)

Hadis ini juga turut menunjukkan bahawa baginda S.A.W berusaha untuk mengelakkan fitnah ke atas diri baginda serta sangkaan buruk yang mungkin boleh terhasil ke atas orang lain melalui perbuatan baginda. Sekalipun berdua-duaan dengan isteri itu merupakan suatu yang dibolehkan, akan tetapi sekiranya ia boleh mendatangkan fitnah maka perlu diberikan penjelasan keadaan yang sebenar.

 

KISAH KETIGA

Ketiga: Kisah Ibrahim Nakhaie Dengan Anak Muridnya Sulaiman al-A’masy

Diriwayatkan bahawa Ibrahim al-Nakha’ie adalah seorang yang buta dan anak muridnya, Sulaiman bin Mehran al-A’masy pula seorang yang rabun. Satu hari keduanya berjalan bersama-sama menuju ke masjid. Kata Ibrahim: “Sulaiman, apa kata kamu ikut jalan yang lain manakala aku pula ikut jalan yang lain kerana aku takut nanti orang ramai melihat kita lalu mereka berkata: Si buta dipimpin si rabun. lalu mereka mengumpat kita dan mendapat dosa”.

Kata Sulaiman: “Wahai guruku, apa salahnya kita akan mendapat ganjaran pahala dan mereka (yang mengumpat) berdosa”. Jawab Ibrahim: “Tidak, kita selamat dan mereka juga selamat itu lebih baik dari kita diberi ganjaran pahala sedangkan mereka mendapat dosa”. [Lihat al-Muntazom fi Tarikh al-Muluk wa al-Umam karya Ibn al-Jawzi, 7/22]

Lihatlah akhlak yang telah ditonjolkan oleh Ibrahim al-Nakha’ie yang mana beliau bertanggungjawab ke atas perbuatannya. Boleh saja mereka berdua berjalan bersama untuk pergi ke masjid. Namun, apabila memikirkan mulut dan hati manusia lain yang tidak boleh di kawal dari mengumpat dan mencaci, maka mereka menggunakan jalan yang lain agar jauh dari manusia yang lain. Mungkin kita lebih suka untuk mendapat pahala hasil daripada umpatan orang lain sedangkan tanpa kita sedari perbuatan kita itu sendiri yang telah mengundang cacian dan umpatan. Ini tidak disukai oleh Ibrahim al-Nakha’ie dan baginya jika kedua-duanya terselamat adalah lebih baik.

 

KISAH KEEMPAT

Keempat: Bolehkah Seseorang Yang Melihat Anak Bulan Syawal Untuk Tidak Berpuasa ?

Diriwayatkan dari Ibn Umar R.anhuma beliau berkata, aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda:

إِذَا رَأَيْتُمُوهُ فَصُومُوا وَإِذَا رَأَيْتُمُوهُ فَأَفْطِرُوا

Maksudnya: Apabila kalian melihatnya (anak bulan) maka berpuasalah dan apabila kalian melihatnya (anak bulan syawal) maka berbukalah (raya sudah tiba).

Riwayat Muslim (1080)

Ketika mengulas hadis ini, kata Imam al-Son’aani Rahimahullah: Jika seseorang yakin dia telah melihat anak bulan Syawal, maka dia boleh untuk berbuka (tidak berpuasa), dan sebaiknya dia sembunyikan hal itu, bertujuan untuk memelihara hamba (orang ramai) dari mereka berburuk sangka dengannya lalu mendapat dosa. Rujuk Subul as Salam, al-Son’aani (2/422).

 

PENUTUP

Akhir kalam, kami berpendapat bahawa hukum seseorang yang ada keuzuran untuk tidak berpuasa makan di siang hari bulan Ramadhan adalah HARUS.

Adalah lebih afdhal ianya dilakukan di tempat yang sunyi dari penglihatan orang ramai bagi menjaga dan memelihara diri kita dari fitnah serta menyelamatkan orang ramai dari sangkaan buruk lalu mereka mendapat dosa.

Semoga pencerahan ini dapat difahami dengan sebaiknya. Kami berdoa kepada Allah S.W.T agar menerima segala ibadah kita di bulan Ramadhan ini, seterusnya menjadikan kita tergolong dalam kalangan mereka yang bertakwa. Ameen.

Akhukum fillah,

S.S Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan

Share.

Leave A Reply