Bayi Perempuan Diselamatkan Selepas 17 Jam Terperangkap Dalam Perigi | Seorang bayi perempuan berusia 19 bulan warga Myanmar yang terjatuh hingga tergerangkap di dalam sebuah perigi sedalam 15 meter di wilayah Tak, pedalaman Thailand berjaya diselamatkan pihak berkuasa tempatan semalam (Selasa).

Difahamkan, bayi malang terbabit berjaya dikeluarkan selepas operasi menyelamat digerakkan oleh pasukan penyelamat Thailand yang berlangsung selama 17 jam.

Menurut laporan ThaiPBSWorld, insiden yang berlaku berhampiran sempadan Myanmar itu berpunca daripada bermain di atas timbunan tanah yang digali keluar dari lubang sekitar perigi tersebut.

Dalam pada itu, pasukan penyelamat terpaksa menggali perigi berkenaan sepanjang malam bagi menjalankan operasi menyelamat.

Anggota kami menurunkan kamera video ke dalam perigi dan menemui bayi itu terperangkap pada kedalaman kira-kira 15 meter serta disahkan masih hidup.

Oksigen dipam ke dalam lubang sepanjang masa, untuk membolehkan mangsa bernafas.

Malah, Ketua Polis Phop Phra, Ratsaran Ketsoising memaklumkan operasi itu terpaksa menggunakan penggali mekanikal untuk mencapainya sebelum menarik keluar mangsa.

Hal ini kerana bayi perempuan berkenaan kelihatan mengalami kecederaan pada kaki akibat terjatuh.

Sejurus keluar dari lubang itu, dia diletakkan di atas pengusung dan dikejarkan ke Hospital Daerah Phop Phra untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Sumber: Oh Bulan

 

Artikel Lain

Empat Hari Jatuh Dalam Perigi, Ini Keadaan TERKINI Kanak-Kanak Terbabit..

Empat Hari Jatuh Dalam Perigi, Ini Keadaan TERKINI Kanak-Kanak Terbabit.. | Pasukan kecemasan India berjaya menyelamatkan seorang budak lelaki berusia 10 tahun yang terjatuh dan terperangkap di dalam sebuah perigi sempit selama lebih empat hari, kata kerajaan negeri.

Rahul Sahu, yang mempunyai masalah pendengaran dan pertuturan diselamatkan lewat semalam.

Dia terjatuh ke dalam perigi sedalam 24 meter pada Jumaat petang lalu ketika bermain di belakang rumahnya di negeri Chhattisgarh.

Jentera penolak tanah dan kren digunakan untuk menggali satu terowong bersebelahan perigi tersebut, yang mempunyai kelebaran kecil. Tentera dan pasukan agensi tindak balas bencana turut sama menyertai misi menyelamat tersebut.

“Rahul telah diselamatkan dan berada dalam keadaan baik hasil daripada doa orang ramai dan usaha menyelamat berterusan pasukan kecemasan,” kata Ketua Menteri, Bhupesh Baghel di Twitter.

Sementara itu, Ketua Pentadbiran Daerah Tempatan, Jeetendra Shukla berkata, kanak-kanak tersebut masih hidup namun berada dalam keadaan lemah dan dikejarkan ke hospital terdekat.

“Seekor ular dilihat berada dalam lubang yang sama, namun Rahul menunjukkan sikap berani dan kekal tenang ketika operasi menyelamat dilakukan,” ujarnya.

Pegawai tempatan berkata, cuaca buruk dan ular berbisa serta kala jengking yang berada dalam lubang perigi tersebut menyukarkan usaha menyelamat dilakukan.

Ketika operasi berjalan, sebuah kamera digunakan untuk memantau keadaan kanak-kanak tersebut serta pergerakannya, kata Ketua Polis Daerah Janjgir, Vijay Agrawal kepada AFP.

“Memandangkan dia tidak boleh bercakap atau mendengar, kami berdepan cabaran yang besar,” katanya.

Selain itu, sebatang paip oksigen turut disalurkan kepada Rahul ketika proses menyelamat dilakukan bagi menyalurkan udara segar kepadanya. Usaha menggali terowong turut menjadi sedikit perlahan disebabkan terdapat banyak batu keras di bahagian bawah tanah.

Sumber : Kosmo

 

5 Hari Terperangkap Dalam Perigi, Jenazah Rayan Dikebumikan Hari Ini

5 Hari Terperangkap Dalam Perigi, Jenazah Rayan Dikebumikan Hari Ini | Maghribi semalam melakukan persiapan untuk mengebumikan ‘Rayan kecil’ iaitu budak lelaki berumur lima tahun yang meninggal dunia ketika terperangkap di dalam sebuah perigi di sebalik operasi menyelamat selama beberapa hari yang menjadi tumpuan seluruh dunia.

Nasib kanak-kanak itu mendapat perhatian dunia selepas dia terjatuh ke dalam sebuah perigi sempit sedalam 32 meter pada Selasa minggu lalu.

Majlis pengebumian akan diadakan di kampungnya di Ighrane yang terletak di kawasan pergunungan Rif, utara Maghribi di mana tragedi itu berlaku, demikian menurut seorang pegawai tempatan dan waris mangsa kepada agensi berita AFP.

Berita kematian Rayan diumumkan oleh kabinet diraja Maghribi selepas Raja Mohammed VI menelefon ibu bapa mangsa untuk mengucapkan takziah.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada Raja Mohammed, pihak berkuasa dan semua yang telah membantu kami.

“Semoga roh anak kami dicucuri rahmat, “ kata bapa Rayan, Khaled Aourram kelmarin.

Terdahulu, jenazah Rayan dibawa ke sebuah hospital tentera di Rabat, demikian menurut seorang sepupu keluarga tersebut, namun belum ada laporan mengenai sebarang bedah siasat.

Sumber : Kosmo

Share.

Leave A Reply