KOTA BHARU: Taktik licik satu sindiket yang menyeludup masuk daun ketum ke Kelantan menggunakan lori tangki simen tumpas selepas kegiatan mereka dikesan pihak berkuasa.
Susulan itu, dua lelaki iaitu pemandu lori dan kelindan masing-masing berusia 28 tahun ditahan polis di Batu 6, Batu Melintang, Jeli, awal pagi semalam.
Operasi jam 4 pagi itu turut merampas 200 bungkusan hitam yang didalamnya berisi daum ketum membabitkan nilai keseluruhan RM20,000.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, berkata tangkapan itu dilakukan selepas pegawai dan anggota yang membuat Ops rondaan mendapati lori tangki simen berkenaan dalam keadaan mencurigakan apabila berlaku pergerakan awal pagi.
“Susulan itu, pegawai dan anggota polis menahan untuk pemeriksaan sebelum mendapati terdapat satu botol air ketum yang berada di bahagian kaki suspek.
“Pemeriksaan lanjut turut menemui 20 bungkusan daun ketum yang disorokkan di bahagian bawah tangki simen berkenaan.
“Kita percaya bekalan terbabit dibawa dari utara untuk pasaran Kelantan dan kedua-dua suspek berkenaan bekerja sebagai pemandu lori,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Muhamad Zaki berkata, ujian air kencing terhadap kedua-dua suspek juga positif dadah jenis Benzo dan masing-masing mempunyai dua dan tiga rekod jenayah lampau.
“Kedua-dua suspek ditahan reman selama empat hari sehingga 10 Januari dan kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
“Lori tangki simen berkenaan turut disita untuk siasatan lanjut dan polis memohon kepada pengusaha lori tangki simen supaya lebih berhati-hati kerana itu adalah salah satu taktik yang digunakan sindiket untuk menyeludup ketum.
“Ini kali kedua kita melakukan rampasan membabitkan lori tangki simen di mana kali pertama pada 2021 dan pemeriksaan lebih lanjut akan dijalankan selepas ini,” katanya.
Baca Juga: Dua Anggota Bomba Dicekup, Seludup 850kg Ketum
Taktik dua lelaki termasuk seorang anggota bomba yang mengubah suai sebuah van kepada kenderaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk menyeludup sebanyak 850 kilogram ketum bernilai RM8,500 terbongkar apabila mereka ditahan di Kampung Rabbana di sini, Khamis lalu.
Anggota bomba yang berusia 29 tahun itu dan rakannya berusia 35 tahun yang memakai baju-T dan seluar celoreng bomba dicekup kira-kira pukul 6.30 pagi.
Ketua Polis Daerah Jeli, Superintenden Ahmad Arifin berkata, kenderaan tersebut pada awalnya melalui sekatan jalan raya (SJR) Batu Melintang di sini sebelum anggota polis melihat sebuah van jenis Toyota Hiace milik JBPM dipandu dalam keadaan mencurigakan.
Menurutnya, anggota polis terus mengekori van tersebut hampir 10 kilometer sebelum menahannya di Kampung Rabbana.
“Pemeriksaan di dalam van itu telah menemukan sebanyak 85 bungkusan plastik hitam mengandungi 850 kilogram daun ketum.
“Semakan turut mendapati, van tersebut menggunakan nombor pendaftaran palsu manakala nombor casisnya juga tiada dalam rekod Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Selain itu, enjin kenderaan itu juga dikenal pasti sama dengan kes curi lori di Seri Alam, Johor Bahru kira-kira sembilan tahun lalu,” katanya pada sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Jeli di sini hari ini.
Ahmad memberitahu, siasatan mendapati, kedua-dua suspek baru menjalankan kegiatan menyeludup daum ketum menggunakan van yang diubah suai itu pada awal bulan ini.
Katanya, mereka dipercayai memperoleh bekalan daum ketum berkenaan dari sebuah negeri di utara dan kesemua bahan-bahan tersebut akan dijual di sekitar Machang dekat sini.
“Siasatan turut mendapati, kedua-dua suspek mendapat upah sebanyak RM3,000 bagi setiap satu trip penghantaran daun ketum masuk ke Kelantan.
“Kedua-dua suspek kini ditahan reman selama enam hari bermula 27 Oktober sehingga 1 November ini untuk siasatan lanjut,” katanya.
Susulan itu, Ahmad berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 bagi kes seludup ketum dan Seksyen 168 Kanun Keseksaan kerana penjawat awam mengambil bahagian dalam perniagaan menyalahi undang-undang.
Tambahnya, kedua suspek turut disiasat mengikut Seksyen 171 Kanun Keseksaan kerana memakai pakaian yang membawa tanda penjawat awam dengan niat menipu dan Seksyen 108 (f) Akta Pengangkutan Jalan kerana mempamerkan nombor pendaftaran palsu.
Sumber: KMN