Kuala Terengganu: Alasan sepasang kekasih kononnya hanya mahu berehat di bilik hotel selepas kepenatan seharian bersiar di bandaraya ini tidak menjadi apabila ditahan, Sabtu lalu.

Pasangan kekasih yang juga penuntut di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) ditahan dalam operasi pencegahan maksiat sempena perayaan Tahun Baru Cina (TBC) 2023 di sebuah hotel di bandaraya ini, jam 1.30 pagi.

Ketua Penolong Pesuruhjaya Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Khairul Azizi Idris berkata, kedua-dua pelajar IPTS itu berasal dari Terengganu.

Katanya, pasangan berkenaan memberi alasan menyewa bilik hotel untuk berehat selepas penat bersiar-siar di sekitar bandaraya sempena cuti.

“Pasangan kekasih itu ditahan mengikut Seksyen 31, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) 2001 Terengganu kerana berkhalwat,” katanya.

Operasi pencegahan maksiat itu disertai 25 pegawai dan anggota Bahagian Penguatkuasaan Syariah JHEAT dan Unit Penguat Kuasa Syariah Pejabat Agama Daerah Kuala Terengganu bermula jam 12.30 tengah malam.

Khairul Azizi berkata, sepasang lagi pasangan ditahan ketika pemeriksaan dilakukan di sebuah bilik berasingan di hotel itu.

Katanya, siasatan mendapati pasangan berkenaan yang berusia dalam lingkungan 20-an dan berasal dari luar negeri ini bermalam di hotel.

“Ketika soal siasat dilakukan, pasangan itu mendakwa datang sempena cuti perayaan.

“Ketika serbuan dilakukan, pasangan itu sedang tidur dalam satu bilik,” katanya.

Khairul Azizi berkata, pasangan itu ditahan mengikut Seksyen 31, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) 2001 Terengganu kerana berkhalwat.

“Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda maksimum sebanyak RM3,000 atau penjara tidak lebih dari dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Beliau berkata, lelaki dan wanita yang berada bersama seorang atau lebih dari seorang berlainan jantina yang bukan mahram di tempat terlindung, dalam rumah atau bilik dalam keadaan boleh menimbulkan syak adalah satu kesalahan.

“Kita mengingatkan orang ramai agar tidak terjebak dengan aktiviti maksiat kerana kami akan melakukan operasi pencegahan dari masa ke semasa,” katanya.

Sumber: Harian Metro

 

Baca Juga: Wanita Mengandung 3 Bulan Ditangkap Khalwat

Sungai Petani: Wanita hamil tiga bulan antara tujuh pasangan dicekup berkhalwat dalam operasi dilakukan Pejabat Agama Daerah Kuala Muda sempena Malam Tahun Baru 2023 di sekitar daerah ini, tengah malam tadi.

Dalam operasi itu, berusia 20an itu turut mengaku pernah terlanjur malah mempunyai dua anak hasil hubungan sulitnya dengan pasangan yang berlainan.

Dalam serbuan di sebuah hotel bajet di Padang Temusu kira-kira jam 12.30 tengah malam itu, wanita berkenaan ditahan bersama pasangan yang juga berusia 20-an.

Pegawai Agama Daerah Kuala Muda, Mohd Noor Ismardi Ismail berkata, wanita yang belum berkahwin itu mengaku sedang hamil tiga bulan dan dua anaknya yang masih kecil itu dikatakan kini berada dalam jagaan keluarga.

Beliau berkata, hasil ujian saringan air kencing wanita itu dan pasangannya mendapati mereka positif dadah malah mereka turut gagal menunjukkan Mykad apabila diminta dan memberi alasan hilang.

“Dalam pada itu, dalam serbuan berasingan, sepasang kekasih didapati berpura-pura tidur sewaktu serbuan dilakukan di sebuah hotel di bandar raya ini sekitar jam 1.06 pagi tadi.

“Berikutan itu, anggota penguat kuasa terpaksa menggunakan kunci pendua selepas mengetuk pintu bilik beberapa kali disebabkan pasangan itu enggan membukanya namun gagal apabila pintu dikunci dari dalam.

“Pihak kami akhirnya berjaya membuka pintu bilik berkenaan dan hasil pemeriksaan mendapati terdapat seorang lelaki berpura-pura tidur di atas katil manakala pasangannya tidur di bawah,” katanya.

Mohd Noor Ismardi berkata, hasil pemeriksaan lanjut mendapati, mereka mengaku sudah bertunang dan sedang mengikuti pengajian di peringkat diploma di sebuah kolej di Perak.

Katanya, mereka memberi alasan datang ke Sungai Petani untuk menyambut Tahun Baru 2023.

“Kesemua tujuh pasangan yang ditahan dalam operasi malam tadi disertai 50 anggota dari Pejabat Agama Daerah Kuala Muda dan JHEAIK, Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah, Cawangan Penyiasatan Khas Angkatan Tentera Malaysia, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Skuad Badar dan imam serta ahli jawatankuasa masjid.

Mohd Noor Ismadi berkata, kesemua yang ditahan kemudian dibawa ke balai polis berhampiran untuk laporan tangkapan dan diminta untuk hadir mengikut tarikh ditetapkan bagi siasatan lanjut.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Kedah 2014 kerana disyaki berkhalwat yang memperuntukkan denda maksimum RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Sumber: KMN

Share.

Leave A Reply