BEBERAPA lelaki mengharungi detik getir apabila disamun dua lelaki bertopeng yang merompak dan mengganas di sebuah restoran sekitar Poh Kwang Park, Kuching, Sarawak pada Selasa.

Kejadian itu difahamkan berlaku pada lewat malam apabila seorang lelaki mula merampas beberapa barangan berupa duit dan dompet dipercayai milik pelanggan di premis berkenaan.

Tidak disedari mana-mana pihak, insiden tersebut berlaku secara tiba-tiba apabila lelaki berbadan gempal dan berbaju denim biru mula mengganas serta mencederakan seorang lelaki dipercayai pekerja restoran tersebut.

Meskipun cuba menghalang perbuatan suspek, lelaki terbabit kemudiannya dipukul dan dihempuk dengan sebuah kerusi plastik kerana desakan supaya menyerahkan wang tidak dipenuhi.

Dikongsikan di laman Facebook, video tular itu dirakamkan menerusi kamera litar tertutup (CCTV) restoran berkenaan.

Selain dompet, seorang pelanggan lelaki berputih mata apabila telefon pintarnya dirampas seorang lagi anggota geng perompak itu.

Menurut jurucakap Pejabat Polis Daerah Kuching, Sarawak, belum ada sebarang laporan lanjut diterima berhubung kejadian itu setakat ini.

“Setakat ini kami masih belum menerima sebarang laporan berkenaan kes tersebut, kejadian baru berlaku dan kami akan jalankan siasatan.

“Video tular berkenaan belum diterima dan harap siapa yang ada maklumat lanjut segera kemukakan laporan di balai berhampiran,” katanya.

Dalam pada itu, disyaki tiga suspek terlibat dalam kejadian itu termasuk seorang individu dipercayai pemandu sedang menunggu rakannya di luar premis itu.

Sumber: Majoriti

 

Baca Juga: Penyamun bersenjata parang berkeliaran di Klang

Pada Isnin, tular video di media sosial dipercayai rakaman CCTV yang memaparkan satu kejadian samun di sebuah rumah di sekitar Klang.
Walaubagaimanapun, pihak polis telah melancarkan pencarian memburu sekumpulan penjenayah yang terlibat dalam dua kes samun bersenjatakan parang. Kejadian tersebut berlaku di Taman Intan, Kapar dan di tepi jalan berhampiran Taman Klang Utama, Bukit Raja.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao memberi kenyataan berkenaan situasi ini. Beliau berkata, kejadian pertama berlaku kira-kira jam 3.05 petang di sebuah rumah di Taman Intan, Kapar.

Menurutnya lagi, berdasarkan siasatan dijalankan ketika kejadian, wanita yang telah disamun itu sedang mengemas rumahnya dalam keadaan pintu dan pagar terbuka.

“Berdasarkan hasil rakaman kamera litar bertutup (CCTV) di lokasi kejadian menunjukkan sebuah kereta Proton Waja yang dinaiki empat lelaki bersenjatakan parang telah keluar dari kereta tersebut.

“Ketika itu mangsa sedang mengemas di bahagian dapur rumah dan tiba-tiba dimasuki suspek yang terlibat yang menyamun tiga rantai emas,” tambahnya dalam kenyataan yang diberikan pada Isnin.

Tambahnya, satu lagi kejadian samun dilaporkan berlaku pada jam 3.20 petang di Taman Klang Utama, Bukit Raja, selepas kejadian pertama. Beliau berkata, mangsa tiba-tiba ditahan oleh sekumpulan individu yang menaiki sebuah kereta Proton Waja dalam kejadian terbabit.

Asisten Komisioner Vijaya dalam kenyataannya, “suspek bertindak meragut dua utas rantai emas yang dipakai mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan di leher.”

Menurutnya, polis sedang menjalankan usaha bagi memburu suspek-suspek terlibat dan kes disiasat bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Berkaitan kejadian ini, pihak polis turut meminta orang ramai yang mempunya maklumat berkeenan untuk tampil di balai polis berhampiran. Orang ramai juga boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah, Inspektor Nur Saiful Hazwan Mohamad Ridzuan di talian 016-7404177.

Setelah menjengah ruangan komen di Facebook, netizen berharap agar pihak polis segera menjalankan operasi agar suspek dapat ditangkap dengan cepat. Ramai juga yang berasa takut untuk keluar dari rumah kerana suspek masih berkeliaran.

Sumber: KMN

Share.

Leave A Reply