3 Orang Diselamatkan Lepas 11 Hari Bertenggek Bawah Kapal | Tiga orang berjaya diselamatkan oleh pegawal pantai Sepanyol selepas 11 hari ‘bertenggek’ di atas kemudi sebuah kapal yang tiba di Kepulauan Canary.
Memetik CNN News, gambar yang disebarkan oleh pengawal tersebut pada Ahad lalu mendedahkan tiga orang pendatang yang berada di atas sebuah kapal tangki minyak dan kimia, Althini II.
Menurut Marine Traffic, kapal berkenaan dilapor tiba di Las Palmas pada Ahad lalu selepas berlayar dari Lagos di Nigeria.
Sehingga kini, mereka telah dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Untuk pengetahuan, Kepulauan Canary berada di bawah naungan Sepanyol dan merupakan pintu masuk popular untuk pendatang dari Afrika.
Statistik Sepanyol mendedahkan penghijrahan melalui laluan laut tersebut meningkat kepada 51 peratus dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini berbanding tahun lepas.
Dianggarkan lebih 20,000 pendatang yang datang dari pantai Afrika Barat untuk memasuki kepulauan berkenaan dan lebih 1,100 orang dilaporkan maut di laut.
Terdahulu, empat orang warga Nigeria ditemui selamat selama 1o hari selepas bersembunyi di dalam ruang kemudi sebuah kapal tangki minyak Norway dari Lagos ke Las Palmas, maklum media Norway pada tahun 2020.
Pada tahun yang sama, seorang remaja Nigeria berusia 14 tahun memberitahu akhbar Sepanyol, El, Pais bahawa dia bersembunyi selama 15 hari di dalam sebuah bilik di atas kemudi kapal kargo muatan bahan api.
Difahamkan, kemiskinan, konflik dan peluang pekerjaan yang tipis mendorong sebahagian masyarakat di Afrika Barat untuk berhijrah.
Sumber: Siakap Keli
Artikel Lain
GEMPAR! Kapal Layar Bernilai RM200juta Ada Di Perlis. Siapa Punya?
Kehadiran sebuah kapal layar mewah jenis Adastra di muara Sungai Perlis, Kuala Perlis berhampiran Terminal Feri Kuala Perlis, di sini semalam ternyata menggamit perhatian orang ramai terutama nelayan serta penduduk kampung yang terletak di pesisiran Sungai Perlis di Kuala Perlis, di sini.
Kapal layar atau ‘super yacht’ yang berharga sekitar USD45 juta (lebih RM200 juta) itu dipercayai tiba dari Langkawi dan disedari penduduk sekitar lembangan Sungai Perlis itu sekitar jam 12 tengah hari.
Ahli Lembaga Pengarah Persatuan Nelayan Perlis (PELARIS) Jasmi Hashim, berkata pihaknya ada diberitahu nelayan serta penduduk sekitar muara Sungai Perlis akan kehadiran dan pergerakan kapal layar mewah itu.
“Kita bagaimanapun tidak menerima sebarang aduan daripada nelayan mengenai gangguan dari segi lalu lintas bot nelayan di muara sungai itu.
“Malah, kita juga difahamkan kapal layar mewah itu sebenarnya bergerak menuju ke dok Perlis Marine Engineering (PME) Sdn Bhd yang terletak di Kampung Tengah Kuala Perlis bagi tujuan pembaikan kapal layar,” katanya.
Seorang nelayan, Mat Che Ya, 53 pula berkata, walaupun banyak kapal yang bersaiz sederhana melalui muara sungai itu, namun kapal layar mewah yang canggih itu jarang sekali dapat dilihat di kawasan itu.
“Banyak dah kapal lalu sini cuma saiz tidaklah besar tapi kapal layar yang semalam itu jarang lalu di sini.
“Jadi bila kapal layar itu lalu di sini nampak macam kapal angkasa atas air pula kerana tak nampak macam kapal atau bot yang kita biasa lihat,” katanya.
Tular di media sosial hari ini mengenai kehadiran kapal layar mewah berkenaan yang dilihat sedang berlabuh di tengah muara Sungai Perlis.
Tinjauan dari atas Jambatan Tuanku Syed Putra, Kuala Perlis hari ini bagaimanapun mendapati tiada sebarang kelibat kapal layar mewah itu berlabuh atau bergerak di sekitar muara Sungai Perlis berhampiran jambatan itu.
Malah, nelayan di kawasan itu juga tidak memastikan sama ada kapal layar mewah itu masih berada di dok PME Engineering Sdn Bhd atau sudah pun belayar keluar dari muara Sungai Perlis menuju ke Langkawi.
Sementara itu, Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zain berkata, pihaknya tidak dimaklumkan tentang kehadiran kapal layar mewah itu di muara Sungai Perlis.
“Kita tidak dimaklumkan mengenai kehadiran kapal layar mewah itu di kawasan ini.
“Namun, apa yang dimaklumkan oleh anggota kita yang melakukan rondaan di sekitar perairan Perlis adalah pihak kapal layar mewah itu sudah mendapat kebenaran daripada Jabatan Laut Malaysia menerusi Pejabat Laut Negeri Perlis untuk melalui muara sungai itu dan berlabuh di PME Engineering Sdn Bhd,” katanya.
Sumber : BH