Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun terpaksa menahan sakit hampir setengah jam apabila kakinya tersepit dalam mangkuk tandas di sebuah rumah di Taman Sri Rambai, semalam.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 8.42 malam.
“Sepasukan enam anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Selangor dikejarkan ke tempat kejadian.
“Tiba di lokasi, bomba mendapati seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun tersepit pada kaki kirinya di dalam lubang tandas jenis cangkung,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Norazam berkata, anggota bomba mengambil masa kira-kira 15 minit bagi mengeluarkan kaki mangsa yang tersepit dengan memecahkan mangkuk tandas menggunakan peralatan khas.
“Ahli keluarga sebelum itu berusaha mengeluarkan kaki mangsa namun gagal.
“Kanak-kanak lelaki itu bagaimanapun tidak mengalami kecederaan,” katanya.
Sumber : BH
ARTIKEL LAIN YANG BOLEH DIBACA
Konvoi 40 Motosikal Bertukar Tragedi
Perjalanan konvoi bermotosikal bertukar tragedi selepas seorang penunggang maut manakala seorang lagi cedera apabila motosikal dinaiki mereka terbabit nahas dengan sebuah lori tanpa muatan di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands dekat Simpang Pulai, di sini, hari ini.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Pulai, Mohd Sapri Yeop Mohamad, berkata lebih tragis apabila mangsa maut berusia 47 tahun yang menunggang motosikal Yamaha MZ150 maut selepas digilis tayar lori terbabit pada bahagian kepala.
Beliau berkata, insiden itu turut mengakibatkan seorang lagi penunggang motosikal lain berusia 50-an yang berada di belakang cedera ringan akibat terbabas.
“Difahamkan terdapat 40 motosikal dalam perjalanan ke Cameron Highlands kerana mengikuti konvoi itu.
“Lori yang terbabit dalam nahas ini adalah lori 10 tan tanpa muatan. Bomba mengambil masa kira-kira lima minit bagi membawa keluar mangsa yang digilis itu,” katanya sewaktu dihubungi.
Khidmat anggota bomba BBP Simpang Pulai digerakkan ke lokasi sebaik menerima panggilan jam 1.49 tengah hari tadi dengan operasi tamat jam 3.19 petang.
Sumber : KMN