33 Keluarga Orang Asli Beragama Islam Tiada Makanan Untuk Berbuka | Ketika masyarakat bandar dijangka membazirkan 10 tan makanan sepanjang Ramadan ini, 33 keluarga Orang Asli beragama Islam mengadu mereka tiada sebarang makanan untuk berbuka puasa.
Jerantut: Orang Asli beragama Islam di Kampung Matau, Sungai Rengai berhampiran Jalan Felda Kota Gelanggi-Lepar di sini dikatakan tiada bekalan makanan sepanjang wabak Covid-19 melanda negara bahkan makanan untuk mereka berbuka puasa di bulan Ramadan juga tiada.
Wakil penduduk, Nerta Ibrahim, 41, berkata, sejak seluruh umat Islam di negara ini memulakan puasa, tiada mana-mana pihak yang ingin membantu dengan menyumbangkan barangan dapur untuk mereka.
Katanya, sejak pandemik Covid-19, kebanyakan daripada Orang Asli di kampung itu tidak masuk ke hutan untuk mencari gaharu, damar serta rotan, Mereka hanya bekerja di kawasan yang berdekatan dengan tempat tinggal mereka yang mendapat hasil pendapatan yang tidak menentu.
“Pendapatan yang tidak seberapa ini menyebabkan kami tidak mampu berbelanja barang keperluan dapur dan menyediakan ala kadar sahaja untuk berbuka puasa,” katanya ketika ditemui Kosmo di Kampung Matau dekat Felda Kota Gelanggi Dua, di sini semalam.
Menurut Nerta, ada juga penduduk yang masuk ke hutan untuk beberapa minggu, tetapi tidak memperoleh hasil untuk dijual memandangkan cuaca hujan yang tidak mengizinkan selain kawasan rayau yang sudah banyak ditebang untuk aktiviti pembalakan dan pembangunan sektor perladangan.
Sebelum Ramadan sehingga kini, 33 keluarga Orang Asli itu hanya membeli beras menggunakan seberapa banyak wang yang berada di tangan mereka tetapi masih tidak mencukupi bagi mereka yang mempunyai ramai anggota keluarga.
Sementara itu, Ina Ibrahim, 23, yang mempunyai dua orang anak berkata, suaminya tidak dapat keluar bekerja memandangkan keadaan cuaca ynng tidak menentu.
Katanya, hendak masuk ke hutan mencari gaharu, damar dan rotan tidak berbaloi kerana hasil berkenaan sudah tiada dan kini mereka hanya menanam pisang dan sayuran di tanah berdekatan untuk dijadikan sebagai bahan keperluan dapur.
“Saya hanya memasak ala kadar untuk keluarga kerana tidak mampu, malahan belum tentu dapat menyediakan baju baharu untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi,” ujarnya.
Sumber: Kosmo